11 YB gagal hadir sidang dapat surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR: Sebelas Ahli Parlimen, termasuk lima dari Sarawak akan diberi surat tunjuk sebab kerana tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Isnin lalu kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Ahli Parlimen terbabit yang juga anggota Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) itu adalah Jawah Gerang (Lubok Antu), Henry Sum Agong (Bukit Mas), Raime Unggi (Tenom), Billy Abit Joo (Hulu Rajang) dan Datuk Bernard S Maraat (Pensiangan).

Turut akan diberi surat tunjuk sebab ialah Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Idris Haron (Tangga Batu), Datuk Abu Bakar Taib (Langkawi), Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin (Parit Buntar) dan Dr Junaidy Abdul Wahab (Batu Pahat).

Selain itu, Ketua Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub juga tidak hadir Isnin lalu tetapi beliau tidak akan diberi surat tunjuk sebab kerana bukan ahli BNBBC.

Bagaimanapun, secara kebetulan pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan lawatan ke beberapa kawasan di Sarawak.

Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, keputusan memberikan surat itu dibuat kerana kerajaan memandang serius perbuatan Ahli Parlimen terbabit yang tidak menghadiri sesi persidangan di Dewan Rakyat.

Malah, beliau yang juga Timbalan Ketua Whip Parlimen berkata, perkara itu juga akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Ahli Parlimen terbabit perlu menjawab surat berkenaan dan memaklumkan punca mereka mengabaikan tanggungjawab hakiki di Dewan Rakyat. Sepatutnya setiap Ahli Parlimen hadir dan periksa bila soalan yang mereka kemukakan akan dijawab, bukan melepaskan peluang walaupun sudah sedia maklum mengenai tarikh soalan mereka akan dijawab,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kod Etika Ahli Parlimen Kerajaan yang dikeluarkan pada April 2004 khusus untuk 109 Ahli Parlimen yang juga anggota BNBBC menggariskan empat Kewajipan Terhadap Parlimen iaitu:

l Menghadiri setiap mesyuarat Parlimen yang diadakan pada waktu yang ditetapkan;

l Memahami dan mematuhi peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara;

l Bertanggungjawab kepada Parlimen melalui peranan aktif, objektif, positif dan bijaksana dalam perbahasan dan;

l Berkelakuan yang boleh meningkatkan kepercayaan rakyat pada integriti Parlimen setiap masa.

Selain itu, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen yang gagal menghadiri sesi persidangan Parlimen untuk tempoh enam bulan berturut-turut boleh dilucutkan hak.

Nazri yang diberi tanggungjawab mengeluarkan surat tunjuk sebab itu menjangka ia akan diserahkan kepada semua Ahli Parlimen terbabit minggu ini.

0 comments: