KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji secara komprehensif cadangan penstrukturan semula sistem subsidi melalui konsep pengagihan lebih adil bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah dapat menjadi penerima utama bantuan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan memerlukan masa untuk melihat perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat mengenainya dan tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan.
"Kita hanya membayangkan prinsip asasnya, tetapi masih mengkaji cara melakukannya supaya selari dengan objektif itu. Kita sedar perkara ini mendapat perhatian semua, jadi saya lebih senang jika membentangkannya secara formal apabila tiba masanya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Bertanggungjawab Asia Pasifik ke-10 dan Persidangan Majlis Industri Kimia ke-35 di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM), Datuk Mohamed Al Amin Abdul Majid.
Dalam Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kerajaan akan melakukan penstrukturan semula sistem subsidi melalui konsep pengagihan lebih adil yang mensasarkan rakyat berpendapatan rendah sebagai penerima utama.
Beliau dilaporkan berkata, walaupun sukar untuk mengekalkan subsidi berikutan harga minyak dunia yang terus meningkat sekarang, kerajaan akan meneruskan skim bantuan itu, ia perlu disasarkan kepada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan.
Sebelum itu, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan kerajaan merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Najib menggesa industri kimia di negara ini terutama usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) proaktif bagi memastikan produk yang dikeluarkan memenuhi syarat baru ditetapkan Kesatuan Eropah (EU).
0 comments:
Post a Comment