Peguam ponteng hina mahkamah

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Tindakan menghina mahkamah boleh dikenakan terhadap peguam yang ponteng perbicaraan tanpa alasan munasabah sehingga menyebabkan perjalanan kes-kes sivil atau jenayah tertangguh.

Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, hakim yang mendengar perbicaraan itu bagaimanapun diminta mengeluarkan perintah tersebut berdasarkan pertimbangan yang sewajarnya.

Menurut beliau, mahkamah harus meneliti dahulu penjelasan peguam tersebut yang dikemukakan melalui wakilnya sama ada alasan yang diberikan itu munasabah atau sebaliknya.

“Mungkin peguam berkenaan benar-benar terdesak untuk menangguhkan kes sehingga dia tidak sempat untuk memaklumkan mahkamah secara bertulis dan hanya menghantar wakilnya sahaja.

“Jika peguam tiada sebab yang kukuh, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadapnya,” ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ragunath mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini mengenai seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berang kerana terpaksa menunda perbicaraan kes cubaan membunuh anggota polis yang telah lima tahun tertangguh selepas peguam yang mewakili tertuduh berada di Korea Selatan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Abd. Aziz tidak berpuas hati dengan tindakan peguam tersebut, Loh Chin Hau mewakilkan seorang peguam lain, M. Mahendra yang hanya tiba di mahkamah pukul 11.30 pagi untuk memaklumkan bahawa beliau diminta mewakili tertuduh pada prosiding tersebut.

Mahendra berkata, Chin Hau telah berlepas ke Korea Selatan untuk satu urusan penting dua hari sebelum perbicaraan bermula.

0 comments: