PBT sokong Selangor beri Anugerah Penyapu

KUALA LUMPUR: pelbagai pihak menyokong tindakan Kerajaan Selangor memberi Anugerah Penyapu kepada pihak berkuasa tempatannya (PBT) yang tidak mencatat prestasi memuaskan dan menyifatkannya satu pengajaran.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, menganggap pemberian anugerah itu sebagai satu langkah kreatif dan positif yang diambil Selangor dan wajar dicontohi negeri lain dalam usaha meningkatkan prestasi PBT masing-masing.

"Anugerah itu diberikan sebagai tanda peringatan kepada PBT untuk melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan demi kepentingan masyarakat selain mengelakkan kepincangan serta menjaga integriti pengurusan.

"Bagi pihak penerima, saya harap mereka mengambilnya dari sudut positif dengan mengubah sikap serta berusaha meningkatkan prestasi kerja mereka pada masa depan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kelmarin, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjadi penerima pertama 'Anugerah Penyapu' daripada kerajaan negeri kerana gagal mencapai sasaran kutipan hasil cukai semasa dan tunggakan tahun lalu.

Anugerah Khas sebatang penyapu yang diikat riben itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada wakil jabatan dan agensi berkenaan pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

PTD Hulu Selangor dan MDHS hanya memungut 55 peratus cukai semasa dan 56 peratus cukai tertunggak, manakala MDHS memungut 66.9 peratus hasil cukai semasa dan 23.4 peratus cukai tertunggak tahun lalu.

Dr Mohamad Khir berkata, anugerah itu diberi sebagai simbolik kepada PTD Hulu Selangor dan MDHS supaya berusaha membaiki prestasi untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Melaka, Kamarudin Md Shah, berkata langkah itu mampu memberi kesedaran kepada PBT untuk bekerja lebih keras selain memikul cabaran untuk meningkatkan prestasi.

"Kalau daerah kecil dan kurang pendapatan mungkin mereka sukar mencapai sasaran dan perlu meminta bantuan kerajaan negeri tetapi bagi daerah yang sudah mampu berdikari tiada alasan bagi mereka mencapai prestasi yang digariskan," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan sekiranya anugerah sama di berikan di Melaka, beliau berkata ada banyak cara lagi untuk menilai prestasi PBT.

"Sebelum ini juga kerajaan bercadang melaksanakan sistem penarafan bintang kepada jabatan kerajaan termasuk PBT dan langkah itu patut dipercepatkan supaya PBT terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

0 comments: