12 kena gantung kerja kes salah urus dana awam

KUALA LUMPUR: Dua belas pegawai awam yang didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan membabitkan penyelewengan dan salah urus dana awam berikutan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006, digantung kerja serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata tempoh penggantungan berkuat kuasa sehingga perbicaraan kes mengikut Akta Pencegah Rasuah 1997 itu selesai.

Bagaimanapun, katanya, setiap ketua jabatan bagi semua pegawai terbabit perlu memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib keputusan mahkamah terhadap pegawai awam berkenaan.

Mohd Sidek berkata, keputusan menggantung kerja itu dibuat Lembaga Tatatertib yang berkuasa mengenakan hukuman buang kerja dan turun pangkat, mengikut Peraturan 44, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Lembaga Tatatertib memutuskan empat pegawai dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan seorang pegawai Kumpulan Sokongan pada peringkat Persekutuan digantung kerja mulai 5 November ini hingga kes diputuskan mahkamah dengan dibayar emolumen bulanan 50 peratus sepanjang tempoh digantung kerja.

"Selain itu, daripada enam pegawai kumpulan sokongan perkhidmatan awam negeri yang digantung kerja, empat berkuat kuasa mulai 23 Oktober lalu, manakala dua lagi bermula 24 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, selain itu, Jawatankuasa Tatatertib Badan Berkanun memutuskan seorang pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam perkhidmatan badan berkanun digantung kerja dengan dibayar emolumen bulanan 50 peratus sepanjang tempoh digantung kerja mulai 30 Oktober lalu.

Sehingga akhir Oktober lalu, 15 orang ditahan BPR sebagai susulan pendedahan laporan audit itu, termasuk tiga orang awam di kalangan kontraktor dan perunding projek.

Kes berkenaan bermula pada 23 Oktober lalu, apabila BPR menahan enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), seorang kontraktor dan seorang perunding sebelum masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub.

Sehari selepas itu, dua lagi pegawai KBS didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Turut didakwa Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Sie Le.

Seterusnya pada 27 Oktober, BPR menahan empat lagi individu, termasuk tiga pegawai KBS bersabit kes penyelewengan dana awam yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Dua individu terbabit, masing-masing seorang pegawai KBS dan pengurus sebuah syarikat, ditahan di sekitar Lembah Klang, manakala dua lagi pegawai kementerian itu ditahan di Kangar, Perlis.

Keempat-empatnya dipercayai terbabit dalam penyelewengan dan pecah amanah dana projek Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Perlis.

0 comments: