Jangan sekadar laung 'merdeka'

Jangan sekadar laung 'merdeka'

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yang saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu, bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin negara malah ada di antaranya yang menunjukkan kebencian kepada negara, Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup berbahaya."

Demikianlah bunyi sebahagian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh seorang menteri kanan menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos iaitu ketika negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 semalam.

SMS itu sudah menunjukkan dengan jelas betapa erti dan nilai kemerdekaan yang sebelum ini begitu disanjung oleh generasi-generasi sebelum merdeka semakin terhakis di kalangan generasi muda.

Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan.

Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.

Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.

Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.

Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.

Malah kita juga tidak perlu berasa terkejut kalau di kalangan generasi berkenaan untuk menyebut lima menteri Kabinet pun mereka tidak tahu, apatah lagi meminta mereka menghuraikan siapa itu Tok Janggut.

Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?

Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika generasi tersebut terus 'dijajah' akibat ledakan teknologi maklumat sekarang. Kehilangan identiti bangsa tersebut sekali gus akan meletakkan Malaysia dalam bahaya. Impian untuk melihat kita maju dengan acuan sendiri hanya akan menjadi satu mimpi indah yang mengasyikkan.

Persoalannya, sebelum terlambat apakah yang boleh kita lakukan, bagi mengembalikan sebahagian generasi muda ini untuk memahami betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan dan betapa pentingnya mereka menghargai negara sendiri.

Setakat ini, kita harus akui tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda.

Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya?

Parti-parti politik pula lebih banyak bercakaran sesama sendiri demi merebut kuasa. Kalau ada sedikit sahaja isu berkaitan kaum yang boleh dieksploitasikan, mereka akan menggunakannya habis-habisan. Mereka tidak peduli kesannya kepada generasi muda.

Mereka tidak mahu memikirkan bahawa generasi muda melihat apa yang mereka lakukan dan ia kesudahannya akan menjadi contoh. Akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah negara.

Justeru janganlah memandang ringan fenomena tidak sayangkan negara yang semakin menular di kalangan generasi muda tersebut. SMS yang dipaparkan pada awal rencana ini, sudah jelas membuktikan bahaya yang menanti kita.

Kita tidak pasti, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apa pula sumbangan parti-parti pembangkang dalam soal ini.

Selagi semangat meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya, maka selagi itu generasi muda akan terus hanyut dengan dunia mereka.

Tokoh-tokoh politik yang ada sekarang akan meninggalkan alam fana ini apabila tiba masanya, oleh itu kalau benar mereka sering melaung-laungkan untuk mewariskan sebuah negara yang aman, damai dan maju dengan identiti sendiri maka mereka perlu bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan generasi muda daripada terus hanyut dengan dunia mereka.

Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.

Semua ini hanya akan mampu tercapai seandainya, daripada sekarang kita menerapkan kepada mereka untuk menghargai kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Kita harus faham sama ada sesebuah negara itu mampu terus merdeka atau tidak, ia bergantung kepada pewaris pemerintahan negara.

Semoga pihak-pihak berkenaan tidak memandang ringan isu yang dibangkitkan dalam SMS yang diterima oleh menteri tersebut. Janganlah kita terlalu ghairah mengejar soal-soal mencapai kemajuan dari segi fizikal tetapi dari segi semangat cintakan negara ia semakin pudar.

Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

2 comments: