Bakal haji mesti jaga imej negara

Oleh Mohd Azis Ngah


LAKSANA IBADAH: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam.

Seri Paduka yakin jemaah kita berdisiplin tinggi

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam menasihatkan jemaah Malaysia supaya sentiasa berusaha menjaga imej serta maruah negara sepanjang mengerjakan ibadat haji.

Baginda bertitah, jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa bersabar sepanjang berada di Tanah Suci, terutama ketika menghadapi ujian Allah dan mengekalkan tahap disiplin diri yang tinggi dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

Untuk tahun ini, seramai 26,000 jemaah dari Malaysia akan mengerjakan ibadat berkenaan dan jemaah negara ini adalah antara yang mendapat pengiktirafan Arab Saudi kerana sentiasa mempamerkan tahap disiplin tinggi serta tidak menimbulkan masalah.


"Beta berkeyakinan dengan kegigihan, bantuan serta usaha Tabung Haji menyedia dan memudahkan bakal haji, termasuk mengadakan kursus intensif dan kursus perdana mampu membantu jemaah menjalankan ibadat dengan lancar.

"Beta berdoa agar ibadat haji jemaah Malaysia diberkati Allah serta mendapat haji mabrur. Jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar menghadapi dugaan, menjaga imej serta maruah negara," titah baginda ketika berucap pada Majlis Mengucapkan Selamat Salam Ke Baitullahil Haram kepada Jemaah Haji Malaysia Musim 1428 Hijrah/2007 M, di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, di sini, semalam .

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke majlis itu.


Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa�ari Mohamed Nor dan Duta Besar Di-Raja Arab Saudi, Mohammed Reda Abu Al-Hamayel.

Seramai 380 jemaah haji daripada kumpulan keenam (KT06) diraikan pada majlis itu yang bertolak dari Kompleks Tabung Haji ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) seterusnya berlepas ke Lapangan Terbang Madinah menaiki pesawat MH 8006.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji berkenaan.

Sementara itu, Abdullah berkata, pihaknya menerima sumbangan daripada 21 syarikat melalui program Sahabat Korporat yang berjaya mengumpul barang serta wang tunai berjumlah RM2.9 juta.

"Memang kita galakkan mana-mana syarikat yang berminat untuk menderma kepada jemaah haji, tetapi itu bukan keutamaan kita. Kita masih mampu jalankan operasi dan pada masa sama menggalakkan syarikat korporat menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan menderma.

"Ketika kos semakin meningkat termasuk akibat kenaikan harga minyak, sumbangan itu memberikan makna besar kepada Tabung Haji untuk melicinkan lagi operasinya serta menyediakan kemudahan kepada bakal jemaah. Soal tambang akan dinaikkan, itu kita belum putuskan," katanya.

Katanya, kos operasi dan urusan mengerjakan haji tahun ini membabitkan perbelanjaan RM50 juta dan kerajaan memberikan subsidi kira-kira RM1,200 bagi setiap jemaah. Bayaran yang dikenakan kepada jemaah adalah RM8,973 seorang.

Ditanya sama ada bantuan subsidi itu akan dipotong selepas kerajaan memutuskan mengkaji semula skim bantuan subsidi, Abdullah berkata, perkara itu belum diputuskan, tetapi ia akan dikaji.

0 comments: