KUALA LUMPUR 8 Nov — Jenazah anak perempuan pelakon Mustapha Kamal yang meninggal dunia malam tadi setelah berada dalam keadaan kritikal akibat terjatuh dari tingkat 13 Kondominium Danau Impian, Taman Desa, di sini pada 22 Okt lepas selamat dikebumikan pagi ini.
Ayuna juga dikenali sebagai Ona, 15, anak sulung Mustapha dengan bekas isterinya, Yong Rahimah Johari, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Ampang Jaya di sini pada pukul 10.30 pagi.
Jenazahnya disembahyang dan dikapankan sebelum dibawa keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya pada pukul 2.30 pagi tadi.
Jenazah itu disembahyangkan sekali lagi di Masjid Bukit Indah, Ampang pada pukul 9 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi saudara-mara dan rakan-rakan.
Ketika ditemui Mustapha berkata, beliau kesal dengan laporan akhbar tempatan semalam yang mengatakan bahawa keadaan anaknya stabil sedangkan keadaannya kritikal sejak 31 Okt lalu sehingga menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi.
“Kenyataan itu tidak tepat dan agak mengecewakan. Bagaimanapun saya reda dengan pemergian Ona kerana telah menjaganya sepanjang 18 hari dia dirawat di hospital dan kami sekeluarga berada di sisinya sehingga ke saat akhir hayatnya,” kata beliau ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Indah.
Mustapha juga melahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada rakan-rakan artis kerana memberikan sokongan serta semangat sepanjang beliau menjaga anaknya yang kritikal itu.
“Penghargaan saya juga untuk pelajar Universiti Malaya, Persatuan Guru-guru Islam dan saudara-mara di Kelantan termasuk Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang sudi mengadakan solat hajat untuk mendoakan kesihatan arwah ketika dia masih kritikal,” katanya.
Ketua Perhubungan Awam PPUM, Wahaya A. Hamid berkata, Ayuna meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala.
“Allahyarham meninggal dunia di wad unit rawatan rapi kardiotorasik PPUM pada pukul 10.22 malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ayuna yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) cedera teruk di pinggang dan jantung selepas terjatuh.-Bernama
0 comments:
Post a Comment