Raja Munirah pengsan diasak peguam

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, dipercayai pengsan di Pusat Tahanan Tokyo di Kosuge semalam akibat didesak secara bertalu-talu oleh seorang peguam di negara tersebut yang mahu gadis itu melantik dirinya sebagai peguam bela.

Desakan itu di percayai dibuat oleh peguam sama yang memaksa pelajar kolej itu supaya mengaku salah cuba menyeludup dadah jenis syabu ke Jepun sebelum ini.

Peguam dilantik keluarga gadis berkenaan, Rosal Azimin Ahmad memberitahu, peguam terbabit melakukan demikian bagi memastikan Raja Munirah terus berada dalam keadaan tertekan untuk mengaku bersalah.

Beliau dimaklumkan, Raja Munirah turut dimarahi oleh peguam terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan gadis tersebut yang melantik dua peguam lain untuk membelanya pada rayuan lusa.

“Akibat desakan itu, Raja Munirah pengsan dan menghadapi tekanan perasan. Keadaannya bagaimanapun stabil setelah dibawa oleh warden ke pusat perubatan penjara tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Raja Munirah, lepasan jurusan Komunikasi Massa sebuah kolej swasta di Cyberjaya, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di pusat tahanan berkenaan.

Beliau dinasihatkan oleh peguam yang disediakan kerajaan Jepun supaya mengaku salah cuba menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2006 untuk mendapat hukuman ringan.

Peguam yang bakal mewakili Raja Munirah berharap gadis tersebut akan dibebaskan daripada tuduhan menyeludup dadah berdasarkan dua bukti yang bakal dikemukakan dalam rayuan kesnya pada 15 November ini.

Bukti pertama membabitkan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara dia dengan Milad, pemuda Iran yang memperdayakannya untuk ke Tokyo seorang diri bagi ditemuduga untuk satu jawatan bergaji lumayan.

Bukti kedua ialah tindakan Raja Munirah secara sukarela meminta pegawai kastam Jepun supaya memeriksa begnya secara lebih terperinci dengan menggunakan mesin pengimbas.

Rosal Azimin berkata, pihaknya berharap MCMC dapat membekal data yang diperlukan dengan segera.

0 comments: