Showing posts with label IRAN. Show all posts
Showing posts with label IRAN. Show all posts
Cabaran daripada generasi muda Iran

Oleh ZIN MAHMUD.

MALANG bagi Firdaus kerana ketika menerima ijazahnya pada konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun 2006, ayahnya tidak dapat hadir. Begitu juga ketika mendaftar masuk universiti itu pada tahun 2003. Ayahnya juga tidak dapat menghantar.

Kebetulan saja, pada waktu konvokesyen itu, ayahnya terpaksa ke New York bagi membuat liputan Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu sementara pada tahun 2007 itu pula, ayahnya terpaksa ke Teheran membuat liputan Persidangan Menteri-menteri Luar Islam.

Firdaus tahu ayahnya peminat negara Iran, Republik Islam Iran dan Revolusi Islam Iran. Dia lahir pada tahun 1984, tahun di mana semangat revolusi Iran masih membara di kalangan sebahagian kecil anak-anak muda yang cenderung pada Islam ketika itu.

Masih teringat dia betapa di rumahnya terdapat banyak buku-buku dan majalah mengenai Iran yang diperoleh bapanya. Ketika itu Iran mempunyai dasar mengeksport revolusi, dan tidak hairanlah banyak bahan bacaan mengenai negara itu dikirim ke luar negara, termasuk Malaysia.

Firdaus juga ingat kaset-kaset nasyid revolusi Iran yang dibeli oleh bapanya, ketika itu banyak dijual waktu adanya program-program ceramah agama.

Malah nama Firdaus sendiri, menurut ayahnya diambil kerana ia merupakan satu-satunya perkataan bahasa Parsi yang ada dalam al-Quran, membawa makna syurga.

Ayahnya memberitahu bahawa dia pergi ke Teheran lebih awal daripada waktu persidangan itu kerana hendak membuat tinjauan tentang suasana di Iran sejak timbul apa yang disebut oleh Barat sebagai gerakan pro-demokrasi bagi menentang kumpulan garis keras. Keadaan yang sedang berubah ini disebut oleh pelbagai pihak sebagai Revolusi Kedua Iran.

Maka antara tempat lawatannya di Iran ialah pejabat akhbar-akhbar yang pro-demokrasi dan juga Universiti Teheran. Di universiti, ahli akademik dan mahasiswanya terbahagi dua, yang pro-demokrasi dan garis keras.

Buku

Di depan Universiti Teheran, terdapat jalan besar yang penuh dengan kedai-kedai buku. Di sana terdapat banyak buku-buku yang membahaskan pelbagai perkara secara bebas. Antaranya buku-buku lama yang mempertikaikan pandangan ulama juga.

Semuanya dalam bahasa Parsi dan ayahnya tidak faham. Tetapi daripada penerangan orang Iran yang ditemui, ayahnya percaya di Iran, buku mengenai agama yang bertentangan pendapat diterbit bebas di sana. Lebih bebas daripada Malaysia. Malah terdapat buku yang mempertikaikan pemakaian tudung juga ada dijual.

Secara umumnya gambaran yang diperoleh daripada ayahnya, penduduk Teheran, terutamanya di bahagian utara, yang berpendapatan lebih baik sudah jemu dengan pemerintahan yang terlalu mengongkong masyarakat, sementara di satu pihak lain, mereka mahu pembangunan ekonomi lebih baik dan terbuka. Mereka mahu Iran menjadi lebih moden dan menyertai arus perdana politik dunia.

Namun begitu, Parsi adalah bangsa yang berbangga memiliki tamadun besar dan lama. Walaupun ada di kalangan rakyat Iran yang mempunyai sifat lunak terhadap Amerika Syarikat tetapi secara umumnya mereka tidak gentar dan tidak bersedia untuk tunduk pada kuasa besar itu. Bagi mereka, siapakah Amerika yang baru berusia 200 tahun lebih berbanding Iran yang mempunyai sejarah jauh lebih silam.

Walaupun sokongan kepada sistem Republik Islam Iran tetap utuh di seluruh negara, tetapi kalangan rakyat Iran lahir selepas revolusi, iaitu generasi seperti Firdaus, mereka mahukan perubahan. Merekalah yang menyokong Presiden Mohamad Khatami yang dianggap sebagai pro-demokrasi dahulu dan kini calon Mirhoesein Mousavi yang diisytiharkan kalah kepada Presiden Mahmoud Ahmedinejad baru-baru ini.

Semasa sidang menteri luar OIC itu, ayahnya turut berkenalan dengan seorang wartawan Iran, Roxana Saberi yang menyatakan minatnya terhadap Malaysia.

Baru-baru ini Roxana menjadi terkenal apabila ditahan oleh pihak berkuasa kerana dituduh menjadi pengintip bagi pihak Amerika. Kini dia telah dibebaskan dan menjadi ikon bagi pihak Amerika untuk menekan Iran.

Walaupun suka mendengar cerita-cerita ayahnya, Firdaus sejak dari dahulu tidak pernah meminati politik apatah lagi politik antarabangsa. Dia hanya meminati seni bina dan reka bentuk terutama reka bentuk industri kereta. Yang ditanya kepada ayahnya ialah apa model kereta yang terdapat di jalan-jalan raya Iran.

Pada tahun 2005, ayahnya yang turut membuat liputan Perhimpunan Agung PBB di New York juga menceritakan bagaimana Presiden Ahmedinejad bersama Presiden Venezuela Hugo Chavez menarik perhatian media Amerika kerana kedua-duanya tanpa ragu-ragu mengkritik kuasa besar itu.

Dari segi dasar luar, Ahmedinejad dilihat sebagai wira baru golongan anti-Amerika. Beliau menggantikan Saddam Hussein dan Ayatollah Khomeini yang lantang mengkritik Amerika sebelum ini.

Tetapi generasi muda di seluruh dunia, termasuk di Iran, dan juga di Malaysia mahukan perubahan di mana mereka berpeluang turut serta dalam proses kemajuan global, baik dari segi kewangan mahupun teknologi. Walaupun mahu kekal berpegang kepada agama, tetapi mereka inginkan kebebasan, keadilan dan peluang untuk berjaya dalam hidup.

Generasi Firdaus ini tidak mahu terkongkong dengan cara fikir lama. Kalau di Iran, generasi ini mendokong Mousavi. Di Malaysia, cabarannya ialah untuk meraih sokongan generasi ini.
Menilai konflik politik di Iran

Oleh Mazlan Nordin


PARA pelajar yang mengikuti mata pelajaran sejarah di sekolah dalam masa penjajahan dulu kadang-kala diajar hal-hal yang diputarbelitkan atau pendapat berat sebelah. Lalu kami diberitahu: orang Greece adalah pahlawan dan bangsa Parsi adalah orang jahat.

Cerita sepenuhnya tidak disampaikan, termasuk kisah Alexander the Great selepas kemenangannya di medan perang, seperti dicatat oleh sejarahwan kemudiannya: "Setelah menduduki takhta Darius maka beliau menoleh ke arah Greece lalu melihat keadaan-keadaan yang baginya tidak wajar, iaitu setelah melihat negeri lain bagi kali pertama. Banyak hal di Parsi terpaksa dikaguminya dan beberapa perkara negara sendiri dikritik.

"Interaksi kebudayaan Parsi dan Greece mendorong lebih 10,000 askar dan pegawai mereka berkahwin dengan wanita-wanita Parsi."

Kisah-kisah seperti ini kembali dalam ingatan ketika mengikuti laporan-laporan pihak media Barat mengenai keadaan di Iran kini, iaitu berita-berita demonstrasi demi demonstrasi dan pertembungan dengan pihak polis. Segalanya berlaku selepas pilihan raya 12 Jun lalu yang dimenangi oleh Presiden Ahmadinejad sekali lagi. Antara tajuk-tajuk laporan akhbar dan televisyen pihak Barat.

Sikap anti-kerajaan paling meluas sejak Revolusi Islam 1979, penunjuk perasaan mengejek dari bumbung-bumbung bangunan, Iran tuduh Amerika dan Britain campur tangan hal dalam negeri Iran, wartawan BBC London diusir, Iran tutup biro televisyen Al-Arabia.

Tunjuk perasaan sokongan di New York, Washington, Los Angeles, perpecahan pendapat di kalangan pemimpin Iran.

Amerika punyai pelarian bangsa Iran paling ramai. Siaran BBC London dalam bahasa Farsi disekat, demonstrasi bawa akibat buruk kepada ekonomi Iran.

Juga dilaporkan ialah adanya 20,000 orang Yahudi masih bermastautin di Iran. Kenyataan rasmi Iran mengenai 11 juta rakyatnya mengundi juga disiarkan.

Sebelum itu dilaporkan kritikan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Britain Gordon Brown.

Setelah kerajaan Iran mengusir sebilangan ramai wartawan asing, salah satu stesen televisyen menyiarkan kenyataan: "Kirimlah gambar-gambar Iran kepada kami." Juga diminta ialah berita-berita dari citizen journalists, iaitu bukan wartawan.

Berulang disiarkan ialah kenyataan Mir Hussein Mousavi yang tewas dalam pilihan raya bahawa ia "sedia mati syahid". Beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-1988 semasa berlaku peperangan di antara Iran dan Iraq yang waktu itu dipimpin oleh Presiden Saddam Hussein.

Sementara itu Presiden Barack Obama dikritik di Amerika oleh Republikan kerana tidak berkeras mengkritik Iran. Serangan ke atasnya terutama dari golongan neo-konservatif yang bertanggungjawab menyerang Iraq pada tahun 2003.

Dalam melaporkan demonstrasi yang berlaku ada wartawan-wartawan Barat menulis konon munculnya sekularisme di Iran menentang Revolusi Islam. Tetapi sebenarnya tidak ada pemimpin sekular di Iran.

Dalam ingatan ialah kenyataan bekas Presiden Muhammad Khatami: "Pengaruh Revolusi Islam telah merebak ke seluruh dunia Islam. Ia membawa harapan baru kepada orang Islam dan mereka yang ditindas mencari kebebasan serta keadilan lalu dengan itu mewarnai iklim intelektual dan politik dunia."

Juga diungkit kembali ialah saranan supaya Israel mengebom pangkalan-pangkalan bersenjata Iran seperti telah dilakukan dulu ke atas Iraq. Tetapi pihak lain mengingatkan bahawa serangan seperti itu hanya akan melipatganda keazaman Iran yang tentunya mendapat sokongan lebih meluas dari rakyat.

Bagi tukang catat ini ialah kenangan lawatan ke Iran pada awal 1990-an dan persinggahan di makam Imam Khomeini di Behest Zahra serta kunjungan ke bandar Isfahan yang didirikan pada abad keempat. Ia kemudian menjadi twin city Kuala Lumpur.

Diziarahi semasa di Isfahan ialah Makam Bunga Pahlawan Mati Syahid selepas maghrib. Ia perkuburan bagi beribu perajurit yang mati semasa perjuangan Revolusi Islam dan perang selama lapan tahun dengan Iraq. Kelihatan ramai saudara mara menyiram air. Pada tiap kubur terdapat gambar perajurit yang bersemadi di situ.

Iran, dulunya Persia diminati oleh sesetengah yang telah membawa puisi romantis Omar Khayyam dan Firdaus yang menulis puisi Shah Nameh lapan abad lalu - 60,000 rangkap ditulis selama 30 tahun. Antara sajaknya:

Andainya bumi membuka rahsianya.

Dari awal hingga akhir

Tentunya terdedah tubuh raja-raja bermahkota

Dan darah pahlawan-pahlawan di sebelahnya

Ini dunia yang sementara

Tanamlah budi yang baik.

Seperti kata seorang jurucakap rasmi Iran pada hari Isnin lalu pula: "Kami tidak akan membenarkan permata menjadi batu."