Jangan salahkan bola sepak - UEFA

BRUSSELS - Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah, Michel Platini percaya bahawa kerajaan Itali perlu lebih bekerja keras untuk menangani keganasan berkaitan bola sepak berikutan dua insiden tembakan sehingga membawa maut di negara itu tahun lalu, kata penasihat khasnya semalam.

‘‘Michel Platini percaya, kerajaan Itali dan pihak kehakiman tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna,’’ kata William Gaillard kepada Reuters, semalam.

‘‘Pandangan Platini ialah bola sepak tidak harus dipersalahkan begitu juga dengan majoriti penyokong bola sepak Itali tetapi kumpulan minoriti pelampau yang mengambil tempat dalam kelab-kelab penyokong dan tidak berminat dalam bola sepak, harus dipersalahkan.

‘‘Pihak berkuasa Itali perlu membersihkan kelab-kelab penyokong ini atau kumpulan minoriti ini akan merosakkan sukan itu untuk majoriti peminat yang begitu menyukai sukan itu,’’ tambah Gaillard.

Bola sepak Itali kini mula menerima tamparan berikutan keganasan yang mula berleluasa Ahad lalu berikutan seorang penyokong Lazio ditembak mati oleh seorang pegawai polis.

Ia menjadi satu insiden ulangan yang menyebabkan kematian seorang anggota polis sewaktu rusuhan sewaktu satu perlawanan di Sicily Februari lalu.

Polis kelmarin berkata, insiden tembakan yang menyebabkan kematian seorang penyokong, Gabriele Sandri di sebuah stesen servis dimana polis sedang berunding untuk meredakan pergaduhan diantara penyokong Lazio dan Juventus itu merupakan satu kemalangan.

Seorang pegawai kini sedang disiasat berikutan insiden itu.

‘‘Ia satu tragedi yang teruk tetapi bola sepak tidak boleh dipersalahkan. Ia pasti berlakukan dalam apa keadaan sekali pun,’’ kata Gaillard.

‘‘Kami (pihak berkuasa bola sepak) tidak berkuasa untuk bertindak apabila berlaku situasi seperti ini.

‘‘Apa yang berlaku di luar stadium bukan tanggungjawab kami tetapi ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa.’’

UEFA mahu melihat undang-undang yang lebih keras diperkenalkan oleh badan kehakiman Itali, lata Gaillard.

‘‘Itali memerlukan hukuman penggantungan yang keras seperti di England. Pada ketika ini di Itali tidak ada undang-undang untuk menggantung seumur hidup terhadap seseorang penyokong, itulah yang berlaku,’’ katanya.

‘‘Sistem yang komplikasi dimana pihak perbandaran yang mengawal stadium harus di ubah kepada pihak persekutuan atau pihak berkuasa yang lebih tinggi.

‘‘Mereka juga memerlukan polis dari pangkat tertinggi dalam stadium selain petugas yang pakar dan dilatih khas seperti di England,’’ katanya lagi.

Isu keganasan berkaitan bola sepak akan menjadi topik perbincangan utama pada Mesyuarat Kemuncak Menteri-Menteri Kesatuan Eropah (EU), Suruhanjaya Eropah dan Ketua Polis EU, kumpulan penyokong dan para pegawai bola sepak pada penghujung bulan ini.

Satu cadangan untuk mengharamkan penyokong yang bertindak salahlaku dari stadium dan kejohanan-kejohanan utama di seluruh blok 27 anggota Eu dijangka menjadi agenda utama pada mesyuarat yang dijadual berlangsung pada 28 November selain soal keselamatan stadium, polisi serta hukuman-hukuman berat.

‘‘Keganasan di Itali membuktikan bahawa mesyuarat itu lebih penting berbanding sebelumnya,’’ kata Gaillard.

– Reuters

0 comments: