Keperluan BN turun padang jawab hujah PKR di PRK Penanti
MINGGU ini ada dua keputusan penting dalam dunia politik tanah air. Pertama mengenai siapa Menteri Besar Perak dan kedua sama ada UMNO - Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Apakah kemelut politik Perak berakhir Khamis ini? Formula apa yang akan dipakai? Adakah keputusan muktamad akan kembali ke pangkuan DUN Perak?
Atau adakah akan ada usul undi tidak percaya kepada 'Menteri Besar' atau formula 28 + 3 digunakan? Atau Sultan Perak akan menentukannya?
Biar apa pun keputusannya, isu DUN Perak dijangka menjadi modal politik di kalangan parti pakatan pembangkang. Isu ini akan menjadi panas dalam kempen PKR menghadapi PRK Penanti walaupun sehingga semalam persoalan sama ada BN bertanding atau tidak terus menjadi bualan di kalangan ahli-ahli UMNO khususnya di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Setakat ini PRK Penanti yang dijadualkan hujung bulan ini tidak akan memberi laluan mudah kepada PKR sekalipun tanpa kehadiran BN. Kecualilah apa yang sedang berlaku sekadar sandiwara politik bagi 'mengumpan' BN untuk bertanding.
Ketika ini, dikhabarkan pertandingan bakal melibatkan empat penjuru yang turut melibatkan calon Bebas termasuk seorang daripadanya adalah bekas pemimpin wanita PKR.
Pada masa yang sama, adakah akan muncul ahli Pemuda Pas yang akan bertanding sebagai tanda protes? Jika desas desus penawaran diri ini bukan sandiwara politik, maka PRK Penanti tetap menarik walaupun tanpa BN.
Sebenarnya ada pro dan kontra berhubung penyertaan BN pada PRK ini. Ada yang mahu BN bertanding demi maruah serta menjawab segala 'serangan' terhadap kerajaan dan ada pula yang berkata, tidak perlu BN membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Tetapi sama ada bertanding atau tidak, sebagai sebuah kerajaan di peringkat Pusat, BN perlu menghadapi kempen PKR, DAP dan Pas .
Dalam beberapa siri ceramah dan pertemuan politik yang sedang berlangsung, pembangkang meletakkan dirinya dalam keadaan sedia 'menyerang' BN. Ibarat permainan bola sepak, mereka sudah ada team yang sedang beraksi di padang dengan pemain-pemain utamanya seperti Zahrain Hashim, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Hadi Awang, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Husam Musa, Saifudin Nasution, Mujahid Yusof Rawa, Dr. Mansor Osman dan ramai lagi pemain simpanan. Bola di kaki mereka dan sudah menyusun strategi untuk menyumbat gol. Tetapi BN belum menurunkan pasukannya termasuk penjaga gawang yang akan menghalang bola PKR membolosi pintu gol BN.
Khabar dari Permatang Pauh memberitahu, sama ada BN bertanding atau tidak, inilah peluang PKR dan rakan-rakan untuk 'membelasah' BN dengan pelbagai isu.
DUN Penanti akan menjadi medan PKR untuk mengkritik BN dan UMNO walaupun khalayaknya tidaklah sebesar jumlah pengundi bagi seluruh kawasan Parlimen Permatang Pauh. Kecualilah PKR menang tanpa bertanding.
Jika sekalipun ia melibatkan perebutan antara calon Bebas dan PKR tetapi lesen berkempen akan digunakan habis-habisan kerana ceramah menjadi senjata paling utama.
Maka apakah apabila diserang dalam kempen PRK yang andainya tidak disertai BN, tunjang utamanya, UMNO akan berdiam diri? Bersediakah BN sekadar mendengar - masuk telinga kanan keluar telinga kiri segala tohmahan yang dilemparkan? Jika ini berlaku, rakyat akan menerima hujah sebelah pihak (pembangkang) sahaja.
Justeru, bertanding atau tidak, BN perlu turun padang bagi menangkis segala tohmahan. Berhujahlah dengan mereka. Seperti kata Presiden UMNO, Najib Tun Razak kelmarin, UMNO perlu menyediakan hujah dan fakta yang betul bagi menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.
Kata Najib: "Kebanyakan yang dilemparkan sama ada fitnah atau spinning ke atas apa yang mereka lakukan, menunjukkan seolah-olah kita, sama ada tidak betul atau kita terletak dalam keadaan terlalu bertahan berhubung apa yang dilemparkan,".
Antara isu yang mungkin menjadi bahan kempen PRK itu nanti ialah mengenai pergolakan di Perak. Pakatan pembangkang akan menggambarkan mereka di pihak benar atau pihak yang ditindas.
Seperti yang ditulis minggu lepas, ada dua puak dalam politik. Satu puak mengaku merekalah sebenar-benarnya manusia yang jujur, ikhlas, bersih dan berada di landasan yang betul sementara orang lain semuanya 'tergelincir'. Mereka boleh melakukan apa saja kerana tindakan itu dianggap benar belaka sedangkan jika ia dilakukan oleh pihak lain, tindakan itu satu kesalahan.
Begitu juga jika sesuatu keputusan memihak kepada mereka, maka itulah keputusan yang adil tetapi jika keputusan itu memihak kepada orang lain, maka ia didakwa sebagai demokrasi sudah mati atau koma, konspirasi politik, institusi tertentu tercemar dan pelbagai lagi.
Jika orang BN melompat parti menyertai mereka, maka perbuatan itu dianggap mulia dan demokrasi. Tetapi jika sebaliknya berlaku, bermacam label dilontarkan.
Benarlah kata Dr. Mahathir Mohamad, 'Melayu mudah lupa'. Dulu, ketika isu membentuk Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008, bukankah ia lahir daripada sebuah impian apabila wakil rakyat BN melompat parti? Apakah jika 16 September menjadi kenyataan, maka melompat parti dihalalkan dan tidak perlu pembubaran Dewan Rakyat? Mungkinkah ketika itu, teori 28 + 3 > 31 berbanding 28 + 0 > 28 yang lebih mudah difahami oleh kanak-kanak tadika/tabika akan diguna pakai?
Inilah dunia politik. Manusia akan melakukan apa saja walaupun ada tindakan yang lebih berhemah. Memang memalu dan meloyakan melihat aksi di DUN Perak itu (lihat laman web selamatkanperak.blogspot.com). Ada yang merampas mikrofon, membaling buku (teringat peristiwa sama yang berlaku di DUN Pulau Pinang ketika penulis membuat liputan di sana tidak lama dulu). Ada juga yang berdiri di atas meja. Tidak kurang juga yang makan seolah-olah dah letih dan lapar selepas bertelagah atau pun tidak sempat sarapan pagi kerana tergesa-gesa mahu masuk bangunan DUN.
Begitulah gambaran sebenar pada 7 Mei lalu tetapi di luar, gambaran yang diberikan tentulah di sebaliknya. Timbul kisah siapa Hang Tuah dan Hang Jebat. UMNO dalam hal ini seperti kata Najib perlu menyediakan hujah yang kuat bagi menghadapi serangan pembangkang.
Peguam-peguam UMNO perlu tampil segera mempertahankan setiap keputusan yang berlaku. Pemidato UMNO pula perlu berani dan tegas dengan cara penyampaian yang mudah diterima rakyat. Kadang-kala mendengar ceramah pembangkang, lebih banyak pendekatan lawak jenaka yang mengundang gelak ketawa dan tepukan hadirin. Lucu dan bersahaja tetapi ia masuk ke benak fikiran manusia yang mendengarnya.
Di kalangan masyarakat, termasuklah orang Melayu, ada yang lebih gemar mendengar cerita berbentuk seloka atau penglipur lara daripada memikirkan soal nasib bangsa dan negara pada masa depan. Bagi mereka biarlah kampung tergadai esok asalkan hari ini mereka menang sorak di gelanggang.
Dalam hal ini (kisah Pak Kaduk), penulis ingin meminjam petikan ucapan Raja Nazrin Shah bertajuk: Pertahan resipi kekuatan Melayu semasa melancarkan buku The Malays hasil kajian Anthony Milner, Profesor of Asian History, Australian National University pada 12 Mac lalu.
Kata Raja Nazrin: "Untuk itu perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kaduk, memiliki ayam sabung yang hebat, lalu dipermainkan oleh pihak lawan; akhirnya Pak Kaduk menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan; Pak Kaduk sekadar bersorak menang sabung, sedangkan kampungnya telah digadai''.
0 comments:
Post a Comment