Oleh YULPISMAN ASLI
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Majikan-majikan di negara ini hanya dibenarkan membuat permohonan bagi menggaji pekerja asing setelah mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn.
Beliau berkata, permohonan untuk menggaji pekerja asing boleh dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri hanya setelah JTK mendapati tiada pekerja tempatan berminat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Katanya, pendirian Kementerian Sumber Manusia adalah jelas iaitu majikan perlu mengutamakan pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan dan bukannya mengambil pekerja asing.
‘‘Majikan yang ingin menggaji pekerja asing diwajibkan melaporkan kekosongan jawatan (kepada kerajaan) melalui Bursa Buruh Elektronik (ELX) terlebih dahulu.
‘‘Langkah itu diperkenalkan untuk memberi peluang kepada pekerja tempatan memohon jawatan tersebut,” kata Chan Onn ketika menjawab soalan Datuk Ghazali Ibrahim (BN-Padang Terap) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Chan Onn, sehingga 5 November lalu, terdapat seramai 88,900 pendaftar aktif mendaftar melalui ELX untuk mencari pekerjaan.
Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 31,794 pendaftar memohon untuk pekerjaan perkeranian dan 19,082 pula untuk pekerjaan profesional.
‘‘Selangor mempunyai bilangan pendaftar tertinggi iaitu seramai 13,345 orang, diikuti Perak dengan 9,199 pendaftar,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ghazali, beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses membuat satu kajian mengenai keperluan pekerja asing di setiap sektor ekonomi seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji struktur setiap sektor ekonomi bagi memastikan penggantungan kepada pekerja asing boleh diganti dengan pekerja tempatan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan yang pekerja tempatan kurang berminat untuk menceburinya.
‘‘Setelah kajian dibuat, satu dasar akan dirangka bagi menggalakkan sektor-sektor ekonomi kita menjadi lebih berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan akan melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk menggubal undang-undang baru bagi mencegah kemasukan pekerja asing secara haram.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho berkata, dengan adanya undang-undang yang dikenali Akta Pekerja Asing, proses pengambilan pekerja dari luar negara akan menjadi lebih ketat dan pemantauan terhadap mereka dapat dilaksanakan dengan lebih rapi.
“Akta ini lebih sempurna berbanding dengan Akta Pekerja sedia ada kerana ia digubal khusus untuk mereka dan dapat memberi perlindungan yang adil kepada mereka yang bekerja secara sah di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, menerusi akta tersebut beberapa syarat perlu dipatuhi antara majikan dan pekerja asing yang digajikan seperti perlindungan terhadap mereka, insurans, prosedur penggajian dan aduan.
Tan berkata, kerajaan memandang serius isu lambakan warga asing kerana ia telah menimbulkan banyak masalah kepada Malaysia terutama dari segi pengaruh sosial dan kes jenayah.
“Jika boleh, kita hendak capai ‘sifar’ pekerja haram, jadi dengan akta ini kita dapat memantau mereka dengan lebih efisien dan mengawal tindak-tanduk dan perilaku mereka agar tidak mengundang sebarang masalah kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Tan berkata, sebelum ini Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia sama-sama mengendalikan kes pekerja asing, dan dengan adanya undang-undang baru itu, tugas kementerian dapat dibahagi-bahagikan dan akan menjadi lebih jelas.
Mengenai langkah lain, katanya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah diberi mandat untuk menyediakan panduan mengenai had kuota warga asing yang dibenarkan bekerja dalam semua sektor pekerjaan di negara ini.
“Langkah ini dapat mengawal kebanjiran pekerja asing dan mengelak sebarang kes jenayah melibatkan mereka berlaku sekaligus mengurangkan masalah pengangguran tenaga kerja tempatan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment