Surat izin Sultan Ali bukti kukuh

THE HAGUE, Belanda 14 Nov. – Laporan pertama Kerajaan India kepada Pengarah Mahkamah Syarikat Hindia Timur di London berhubung pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi Rumah Api Horsburgh pada 3 Oktober 1846 yang disekalikan dengan surat Sultan dan Temenggung Johor membuktikan bahawa negeri itu mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut.

Hujah itu dikemukakan oleh Profesor Marcelo G. Kohen pada hari kedua pusingan pertama hujah lisan Malaysia bagi kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.

Menurut Kohen, laporan tersebut menyebut mengenai lokasi muktamad untuk pembinaan Rumah Api Horsburgh iaitu di Pulau Batu Putih dan permintaan supaya dihantar rumah api besi dari England.

Dalam laporan itu, hujah Kohen, terkandung Surat Gabenor Butterworth bertarikh 28 November 1844 dan surat-surat Sultan Ali dan Temenggung Johor yang memberi kebenaran kepada British untuk membina rumah api di ‘kawasan berhampiran Romania atau mana-mana kawasan yang didapati sesuai’.

“Mengapa perlu dimasukkan surat Sultan dan Temenggung dalam pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi muktamad Rumah Api Horsburgh, jika seperti yang didakwa oleh Singapura sebagai tidak relevan,” soal Kohen.

Singapura dalam hujah bertulis dan hujah lisannya mendakwa kedua-dua surat keizinan itu tidak relevan kerana ia hanya merujuk kepada kawasan berhampiran Romania iaitu Peak Rock tanpa mengambil kira frasa kedua surat itu yang menyebut ‘atau mana-mana kawasan yang didapati sesuai’.

Republik itu juga mendakwa surat itu terbatal dengan sendirinya apabila British membuat keputusan untuk mencari kawasan lain bagi membina Rumah Api Horsburgh.

Menyanggah dakwaan Singapura itu, Profesor Kohen menarik perhatian mahkamah mengenai Laporan Penuh Gabenor Butterworth kepada Kerajaan Benggal bertarikh 12 Jun 1848 iaitu surat menyurat terakhir di antara pelbagai pihak yang bertanggungjawab sebelum bermulanya pembinaan rumah api itu.

Surat pertama yang dimuatkan dalam laporan itu ialah Surat Butterworth 28 November 1844 yang turut mengandungi kedua-dua surat Sultan dan Temenggung Johor. Ia disifatkan sebagai komunikasi pertama berhubung pembinaan Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih.

“Penulis surat bertarikh 28 November 1844 itu sendiri - Gabenor Butterworth - menyifatkan surat-surat tersebut berkaitan dengan pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih,” hujah Kohen.

Beliau berhujah, Laporan Penuh Butterworth itu kemudian diedarkan kepada semua pihak yang berkenaan dan masing- masing menyedari bahawa surat-surat yang terkandung di dalamnya merujuk kepada Pulau Batu Putih.

Kohen kemudian di akhir hujahnya merumuskan bahawa surat keizinan Sultan dan Temenggung kepada British amat jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius (tidak berpenghuni dan tidak dimiliki oleh sesiapa) seperti yang didakwa oleh Singapura.

Keduanya, British tahu dan mengiktiraf kedaulatan Johor.

British juga, hujah Kohen tidak mempunyai sebarang niat untuk bertindak sebagai pemilik Pulau Batu Putih, oleh itu kehadirannya di pulau tersebut hanya sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh.

Sementara itu, Profesor Nico Schrijver dalam hujahnya berkata, kesan Perjanjian Inggeris-Belanda yang ditandatangani pada 17 Mac 1824 dan Perjanjian Crawfurd (2 Ogos 1824) jelas membuktikan bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge terletak di bawah naungan Johor.

Kedua-dua perjanjian itu juga mengiktiraf bahawa Johor adalah pemilik asal ketiga-tiga pulau itu sekali gus menyangkal dakwaan Singapura bahawa ia terra nullius dan hanya menjadi milik British pada tahun 1847.

Beliau berkata, akibat daripada perjanjian itu, kesultanan Johor telah dibahagikan kepada dua - sebahagian diletakkan di bawah pengaruh Inggeris manakala sebahagian lagi dikuasai oleh Belanda.

Schrijver menambah, menerusi perjanjian itu pulau-pulau di selatan Selat Singapura diletakkan di bawah pengaruh Belanda iaitu Kesultanan Riau-Lingga sementara wilayah-wilayah dan semua pulau di Selat Singapura serta di utara selat itu dinaungi oleh British (kesultanan Johor).

Beliau berhujah, rumusannya Johor terus mempunyai kedaulatan ke atas wilayah-wilayahnya termasuk semua pulau di Selat Singapura, kecuali:

* Pulau-pulau ke selatan Selat Singapura seperti yang disebut dalam Artikel XII Perjanjian Inggeris-Belanda 1824; dan

* Tanah besar Singapura dan pulau-pulau dalam lingkungan 10 batu yang telah diserahkan kepada British di bawah Perjanjian Crawfurd (yang juga ditandatangani pada tahun 1924).

“Pulau Batu Putih yang tidak terletak ke selatan Selat Singapura dan juga bukan termasuk dalam kumpulan pulau yang diserahkan kepada British kekal sebagai sebahagian daripada wilayah Johor.

“Pulau itu terletak 7.5 batu nautika dari Bintang (Pulau Bintan) serta di Selat (Singapura),” hujahnya di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al- Khasawneh serta 15 hakim lain.

Schrijver berkata, kedudukan Pulau Batu Putih di bawah pengaruh British juga boleh dilihat dengan jelas menerusi peta-peta Belanda ketika itu.

– Utusan

0 comments: