Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
KUALA LUMPUR 14 Nov. – Beberapa kesatuan sekerja membantah langkah kerajaan Selangor memberikan penyapu kepada agensinya yang berprestasi buruk kerana ia boleh menjatuhkan moral kakitangan.
Menurut mereka, langkah simbolik itu disifatkan terlalu ‘menghina’ dan sekali gus mengaibkan kakitangannya.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, banyak lagi cara selain diberikan penyapu.
“Tidak salah kalau kita beri keris atau tanjak sebagai simbol peringatan kepada agensi yang tidak cemerlang.
“Ini rekod dunia. Belum pernah ada negara yang mengaibkan agensi yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dengan memberi penyapu sebagai tanda peringatan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada dua agensinya termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik.
Mohamad Khir menjelaskan bahawa pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simbolik bagi membersihkan amalan negatif pihak berkuasa tempatan serta jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.
Sementara itu, menurut Omar, dia menerima banyak panggilan daripada pekerja sektor awam yang tidak senang dengan cara itu.
‘‘Kita juga bersetuju membawa isu penyapu dalam mesyuarat CUEPACS pada 29 November ini,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pemberian penyapu tersebut dilihat terlalu kasar dan memalukan.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Azih Muda pula berkata, ukuran seharusnya dibuat mengikut rating dan pemberian bintang seperti diguna dalam bidang perhotelan.
“Sistem ini lebih wajar. Siapa yang dapat sedikit bintang tentu berusaha sendiri untuk meningkatkan prestasi,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment