Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
BUKIT MERTAJAM 14 Nov. – Teka-teki berhubung punca seorang demi seorang kakitangan Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Pulau Pinang di sini bercuti sakit sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila bangunan pejabat itu didapati dicemari gas berbahaya.
Difahamkan, dua kakitangan jabatan berkenaan dimasukkan ke wad Hospital Bukit Mertajam (HBM) baru-baru ini kerana mengalami sesak nafas dan pening-pening dipercayai akibat terhidu gas beracun.
Lapan lagi kakitangan jabatan itu menerima rawatan berasingan sejak Jumaat lalu dan diberi cuti sakit kerana mengalami simptom yang sama.
Utusan Malaysia difahamkan, kejadian dipercayai berlaku akibat tumpahan asid ‘formaldehyde’ dan ‘potassium’ yang mengakibatkan gas beracun tersebar dalam salah sebuah makmal di bangunan berkenaan pada hari itu tetapi tiada sebarang tindakan pencegahan risiko dilakukan.
Pihak pengurusan jabatan yang mula menyedari ‘sesuatu yang tidak kena’ berlaku dalam bangunan ibu pejabat jabatan itu segera mengarahkan satu siasatan rapi dijalankan selepas bersikap tidak acuh sejak tumpahan asid itu.
Bagaimanapun, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dipanggil membuat pemeriksaan di bangunan itu hari ini mendapati, kawasan itu dicemari gas berbahaya akibat limpahan sejenis asid.
Pihak pengurusan JPH yang dihubungi hari ini bagaimanapun enggan memberi penjelasan berhubung kejadian yang menimbulkan tanda tanya itu.
“Kami tidak ada maklumat yang perlu dihebahkan kepada media pada masa ini, semuanya masih dalam siasatan,” kata seorang pegawai jabatan itu yang dihubungi hari ini.
Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu, dua jentera bersama 35 anggota dari Balai Bomba Bukit Mertajam, Bandar Perda dan Perai bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 12 tengah hari hari ini.
Turut menyertai operasi tersebut ialah sepasukan anggota Pasukan Menangani Bahan Kimia (Hazmat) dari Balai Bomba Jalan Tun Perak, dekat sini.
0 comments:
Post a Comment