HAK JAGAAN: Shahrizat memberikan kata-kata semangat kepada Siti Nadzirah selepas sidang media di Kuala Lumpur, semalam. Turut memerhati, Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subahan Kamal. |
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berbincang dengan Wisma Putra bagi mencari jalan terbaik membantu Siti Nadzirah Mohd Nasir mendapatkan kembali anaknya yang kini dalam jagaan suami di Pakistan.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata perbincangan akan dilakukan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim bagi mengetahui implikasi dan cara terbaik membantu Siti Nadzirah.
“Bayinya kini berada di Pakistan dan berikutan itu, apa juga usaha yang akan dilakukan perlu melalui Wisma Putra. Saya akan berbincang dengan (Menteri Luar) Datuk Seri Syed Hamid Albar, tapi buat masa sekarang beliau di luar negara.
Siti Nadzirah, 20, kini menghadapi perbicaraan mahkamah di Pakistan berkaitan hak penjagaan anaknya, Arman Khan, 11 bulan, hasil perkongsian hidup dengan seorang rakyat Pakistan, Fazal Azim Abdul Aziz, 24.
Dia yang tidak tahan dengan layanan buruk suami dan keluarga mentuanya mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada 14 Julai lalu namun tidak dibenarkan membawa anaknya bersama.
0 comments:
Post a Comment