Mahkamah benar rayuan pampasan

Oleh Munira Yusoff

Hakim pertikai polis tembak 25 kali kereta dinaiki 4 lelaki

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam membenarkan rayuan empat lelaki yang ditembak dalam sekatan jalan raya di plaza tol Sungai Besi pada 1983, untuk mendapat ganti rugi daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf dan Kerajaan Malaysia.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Suriyadi Halim Omar yang sebulat suara membenarkan rayuan itu, turut menegur tindakan polis melepaskan 25 tembakan dalam sekatan yang diketuai Ramli.

Hakim berpendapat tindakan itu tidak berniat baik berdasarkan bukti dan keterangan saksi yang menunjukkan kebanyakan peluru disasarkan pada badan kereta yang dinaiki Ng Chong Meng dan tiga rakannya.

Berikutan itu mahkamah memerintahkan kes berkenaan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

"Jika hendak menghentikan kereta cukuplah sekadar melepaskan dua atau tiga tembakan ke arah tayar. Ini macam hendak membunuh orang.

"Sebarang tindakan mengikut Seksyen 5 Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1979 yang didakwa digunakan pegawai polis terbabit, disertai syarat bahawa perbuatannya berniat baik dan munasabah serta perlu bagi mencapai matlamatnya.

"Sebaliknya jika dilihat dalam keadaan ini, 25 peluru dilepaskan secara rambang. Perlukah 25 peluru untuk menahan seseorang?" katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Vincent Ng Kim Khoay.

Vincent turut menegur perbuatan polis kerana menganggapnya berbahaya kepada orang awam.

"Saya tidak lihat sebarang keterangan yang menunjukkan pistol tersekat sehingga menyebabkan beberapa tembakan terpaksa dilepaskan.

"Sesiapa saja boleh berada dalam kereta itu, mungkin juga seorang hakim. Ini bukannya bandar koboi... Perkara seperti ini yang kita perlu elakkan," katanya.

Ngan dan tiga rakannya, Ngui Pau Keong, Lim Chye Thiam dan Chai Chit Moey, diwakili peguam Karpal Singh manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Rozi Bainon.

Empat lelaki itu membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu) Datuk James Foong pada 25 Mac 1997 yang menolak saman mereka terhadap Ramli yang pada masa itu berpangkat Asisten Superintendan.

Dalam keputusannya Foong berkata, mengikut peruntukan Akta Darurat tindakan mahkamah tidak boleh diambil ke atas pegawai yang menjalankan tugas dalam masa darurat.

Sehubungan itu, katanya, Ng dan rakannya gagal membuktikan bahawa pegawai terbabit mempunyai niat jahat ketika cuba menahan dan menembak mereka di sekatan berkenaan.

Foong memerintahkan dua daripada mereka, mengalami kecederaan berikutan terkena tembakan, diarahkan membayar kos bagi tindakan itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Ngan dan rakannya mendakwa, pada jam 3.30 petang, 24 Mac 1983, ketika dalam perjalanan ke Singapura mereka ditembak oleh sepasukan polis di plaza tol Sungai Besi.

Mereka mendakwa, Ramli dan pasukannya yang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia melakukan kecuaian melepaskan tembakan ke arah mereka sehingga mencederakan dua daripada mereka.

Ngan menuntut ganti rugi khas RM6,067.71 dan Ngui RM1,600 bagi kecederaan mereka.

0 comments: