KUALA LUMPUR 14 Nov. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan cuba membawa kes Siti Nadzirah Mohd. Nasir untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya di mahkamah Pakistan, ke mahkamah Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini kerana perkahwinan Siti Nadzirah, 20, dan suaminya Fazal Azim Abdul Aziz, 24, didaftarkan di negara ini dan anak mereka, Arman Khan yang berusia 11 bulan adalah rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan berbincang dengan Kementerian Luar mengenai perkara itu memandangkan Arman Khan sekarang berada di Pakistan.
“Kementerian perlu berurusan dengan Kementerian Luar terlebih dahulu untuk mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan pertikaian mengenai hak penjagaan kanak-kanak itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Siti Nadzirah di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pertemuan hampir satu jam itu, Siti Nadzirah ditemani bapanya, Mohd. Nasir Bakar, 40, ibunya Siti Abdullah, 42, dan Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subahan Kamal.
Konflik perebutan anak itu bermula selepas Siti Nadzirah mengambil keputusan pulang ke Malaysia kerana mendakwa tidak tahan dengan layanan buruk keluarga mertuanya yang dikatakan hanya memberinya susu kerbau basi dan capati sebagai makanan harian.
0 comments:
Post a Comment