Kedaulatan tak diserah

Oleh Kahirul Bahri Basaruddin




Surat menyatakan Johor tidak tuntut pemilikan Pulau Batu Puteh

MALAYSIA semalam menyangkal dakwaan Singapura kononnya pemangku Setiausaha Kerajaan Johor menyerahkan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Penjajah Singapura pada 21 September 1953.

Peguam Diraja, Sir Elihu Lauterpacht, yang mewakili Malaysia pada perbicaraan mengenai tuntutan Singapura terhadap kedaulatan pulau itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), berkata surat itu hanya menyatakan bahawa Johor tidak menuntut pemilikan pulau itu.


"Terdapat perbezaan antara 'kedaulatan' dan 'pemilikan'. Kedaulatan adalah konsep undang-undang antarabangsa manakala pemilikan, konsep undang-undang persendirian. Undang-undang antarabangsa membabitkan isu kedaulatan manakala undang-undang persendirian berhubung urusan individu, seperti hartanah," katanya di hadapan 14 panel hakim tetap dan dua hakim ad hoc.

Lauterpacht menjelaskan, jawapan surat itu merujuk kepada pemilikan pulau berdasarkan undang-undang persendirian dan bukan kedaulatan kerana pegawai terbabit tidak mempunyai kuasa untuk menyerahkan wilayah Johor kepada British.

"Bagaimanapun, apa-apa maksud surat jawapan pemangku Setiausaha Kerajaan Johor tidak mengikat Johor seperti yang didakwa Singapura.


"Malah kita hairan dengan tingkah laku Singapura yang mendakwa memperoleh hak kedaulatan Pulau Batu Puteh daripada British lebih 100 tahun lalu, menghantar surat pada 1953 untuk mengetahui status sebiji batu (Pulau Batu Puteh) daripada Kerajaan Johor.

"Jika pemilikan batu itu dimaksudkan sebagai kedaulatan oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Johor, tidak ada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan Singapura itu," katanya.

Dalam hujahnya sebelum ini, Singapura menganggap surat yang ditulis pada 21 September 1953 kepada Setiausaha Kerajaan Penjajah Singapura yang menyebut bahawa �Kerajaan Johor tidak menuntut hak milik Pedra Branca� (rujukan Singapura bagi Pulau Batu Puteh) sebagai satu penolakan yang amat penting.

Lauterpact berkata, Malaysia mempunyai bukti lebih mencukupi untuk menyokong Johor mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sejak kewujudan Kesultanan Johor.

Sehubungan itu, katanya, surat bertarikh 1953 itu bukan satu faktor untuk menyokong hujah Singapura yang mendakwa mengambil alih hak milik pulau itu pada 1851.

Beliau berkata, kes Singapura bergantung penuh kepada hujah bahawa Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan, tetapi jika ia milik Johor seperti yang dihujahkan Malaysia, kes republik itu musnah.

Katanya, Singapura juga bergantung penuh kepada kegiatan yang berlaku antara 1847 dan 1851 dengan alasan Pulau Batu Puteh terbuka untuk diduduki bagi menuntut kedaulatan pulau berkenaan.

Beliau berkata, Singapura berulang kali mendakwa kegiatan yang dijalankan selepas 1851 mengesahkan dan mengekalkan hak milik yang diperoleh dalam tempoh 1847-1851.

"Singapura tidak perlu membuat dakwaan itu melainkan pada 1851 British mempunyai hak milik ke atas Pulau Batu Puteh, jika tidak ada, negara itu tidak mempunyai apa-apa untuk disahkan serta dikekalkan.

"Mengikut pengiraan matematik mudah apabila angka kosong didarab dengan sebarang nombor, jawapannya adalah kosong. Jadi ketiadaan hak milik tidak boleh mengesah atau mengekalkan sebarang tindakan dilakukan sesebuah negara itu," katanya.

Lauterpacht berkata, Singapura mendakwa British tidak pernah meminta kebenaran daripada Johor untuk membina dan mengendali rumah api pada 1847 kerana Pulau Batu Puteh tidak bertuan.

Bagaimanapun, katanya, surat yang dihantar oleh Syarikat India Timur (EIC) kepada Sultan dan Temenggong Johor pada 25 November 1844 membuktikan penjajah British mengakui pulau itu milik Johor.

Katanya, tidak mungkin British menduduki Pulau Batu Puteh jika pulau itu tidak bertuan sebelum 1847.

Mengenai tuntutan Singapura ke atas Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Lauterpacht, berhujah kedua-dua bentuk bumi itu secara jelas berbeza daripada Pulau Batu Puteh.

"Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara geologi tidak bersambung dengan Pulau Batu Puteh. Batuan Tengah dipisahkan daripada Pulau Batu Puteh oleh saluran 0.6 batu lebar manakala Tubir Selatan kira-kira 2.1 batu daripada pulau berkenaan.

"Malah Singapura tidak menunjukkan republik itu ada menjalankan kegiatan di Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang membolehkan tuntutan dibuat sebelum rundingan dijalankan pada 1993.

"Kedua-dua bentuk bumi ini di bawah kedaulatan Johor kerana Batuan Tengah dan Tubir Selatan sejak dulu lagi sebahagian pulau, pulau kecil dan bentuk bumi di sebelah utara Selat Singapura yang kedaulatannya dikuasai Johor," katanya.

Tujuh sebab tuntutan Singapura tidak berasas:Malaysia berjaya membuktikan sebelum 1847, Pulau Batu Puteh menjadi sebahagian wilayah Sultan Johor. Singapura gagal menunjukkan Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan.

  • Kegiatan yang dijalankan British dalam tempoh 1847-1851, yang mana Singapura bergantung penuh untuk membuktikan negara itu mempunyai hak milik ke atas Pulau Batu Puteh adalah satu hujah yang tidak berkesan.

  • Singapura mengakui negara itu perlu menunjukkan British mempunyai niat untuk mengambil alih hak milik dalam tempoh itu. Bagaimanapun, tidak ada sebarang bukti kegiatan dilakukan British itu boleh ditafsirkan secara jelas menunjukkan niat mengambil alih kedaulatan antara 1847 dan 1851.

  • Semua kegiatan yang berlaku selepas 1851 tidak mempunyai kaitan dengan persoalan hak milik dalam kes mahkamah.

  • Singapura menggunakan alasan Johor tidak menjalankan sebarang kegiatan di Pulau Batu Puteh, tetapi hujah itu tidak munasabah disebabkan Johor memberi kebenaran kepada British untuk membina dan mengendalikan rumah api.

  • Singapura bergantung penuh kepada surat bertarikh 1953 yang bukan satu hujah berkesan kerana republik itu sebelum ini mengakui mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sejak 100 tahun lalu tetapi masih ingin mendapat maklumat mengenai status pulau itu daripada Johor.

  • Tuntutan Singapura ke atas Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak mempunyai asas kerana kedua-dua bentuk bumi itu milik Johor.
  • 0 comments: