PM: Inisiatif masyarakat penyayang hidup subur

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perdana Menteri membuktikan bahawa inisiatif masyarakat penyayang yang dipromosikan oleh kerajaan hidup subur di kalangan syarikat-syarikat korporat.

Perdana Menteri berkata, anugerah tersebut yang melibatkan penyertaan 360 buah syarikat membuktikan perkara itu.

“CSR ini membolehkan mereka yang miskin, tidak berkemampuan serta kurang upaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa dan mampu mencapai cita-cita yang diinginkan melalui bantuan syarikat-syarikat korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penganugerahan CSR Perdana Menteri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Anugerah CSR Perdana Menteri terbahagi kepada pemenang keseluruhan dengan membawa pulang Anugerah CSR Perdana Menteri serta enam kategori lain iaitu dalam bidang sosial dan kebajikan masyarakat, kebudayaan dan warisan, pendidikan, alam sekitar, CSR syarikat kecil, budaya kerja cemerlang dan kategori khas laporan media.

Digi Telecommunication Sdn. Bhd. merupakan penerima keseluruhan Anugerah CSR Perdana Menteri atas sumbangannya melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di negara ini.

Selain memenangi anugerah keseluruhan, Digi Telecomunication juga memenangi anugerah bagi kategori kebudayaan dan warisan serta kategori budaya kerja cemerlang.

Syarikat lain yang memenangi anugerah ialah Intel Technology Sdn. Bhd. dalam kategori sosial dan kebajikan masyarakat; Petronas (Pendidikan); BP Malaysia (Alam Sekitar) dan Master Skill College of Nursing & Health (CSR Syarikat Kecil).

Abdullah memberitahu, penyertaan syarikat-syarikat korporat dalam enam kategori itu membuktikan bahawa syarikat-syarikat korporat di negara ini faham mengenai CSR.

Sehubungan itu Perdana Menteri mahukan syarikat-syarikat korporat meningkatkan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat terutama yang kurang bernasib baik di negara ini.

“Pada petang ini saya ingin menyentuh mengenai kisah seorang yang kurang upaya iaitu bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen yang saya temui mengenai hasratnya untuk membaca berita semula.

“Saya katakan padanya, dia boleh membaca berita dan nampak cantik walaupun duduk di kerusi roda, malangnya sehingga kini masih lagi tidak mendapat peluang untuk membaca berita di stesen televisyen negara ini,” katanya.

Perdana Menteri menyoal, mengapa keadaan itu berlaku dan berharap sesuatu perlu dilakukan untuk memberi peluang kepada bekas pembaca berita itu melakukan sesuatu yang berfaedah walaupun kini merupakan orang kurang upaya.

Tegasnya, orang kurang upaya perlu diberi peluang untuk meneruskan kehidupan dan diberi peluang pekerjaan sesuai dengan tahap keupayaan mereka.

0 comments: