Pinjaman PTPTN tidak naik

Oleh SANTHY MUTHALU

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi tidak bercadang untuk menaikkan jumlah pinjaman oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institut pengajian tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat berkata, ini kerana jumlah pinjaman tersebut telah dinaikkan beberapa tahun lalu.

“Tiada lagi nak tambah (pinjaman) PTPTN... dulu pun dah tambah,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Expo Kerjaya 2007 di Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai dakwaan bahawa jumlah pinjaman yang diberikan PTPTN tidak cukup untuk membayar yuran pelajar.

Tambah Tee Kiat, pada keseluruhan jumlah yang ditawarkan oleh PTPTN bagi membiayai kos sara hidup dan yuran adalah memadai.

“Pinjaman PTPTN boleh dikategorikan kepada tiga, antaranya sekadar membayar yuran sahaja, kedua, yuran separuh dan akhirnya yuran penuh dengan sara hidup.

“Pinjaman ini tertakluk kepada pendapatan keluarga. Jika pendapatan keluarga tidak cukup, pelajar boleh membuat permohonan untuk mendapatkan yuran penuh dengan sara hidup,” katanya.

Tambah beliau, walaupun pinjaman PTPTN memadai namun, ada yang ghairah untuk dapatkan pendapatan lumayan sehingga mereka lupa tanggungjawab mereka.

“Ini tidak digalakkan sama sekali kerana pelajar adalah modal insan yang kita harapkan,” ujarnya.

0 comments: