Oleh Azman Zakaria dan Zainab Mohd Yatim
RAI KEMENANGAN: Abdullah, Shahrizat (lima dari kanan) dan Mohd Effendi (empat dari kiri) bersama penerima Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perdana Menteri 2007 di Pusat Konvensyen Sime Darby, semalam. |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu sektor swasta meningkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk sentiasa membantu golongan kurang upaya dan yang memerlukan agar semua lapisan rakyat dapat menikmati taraf hidup berkualiti.
Perdana Menteri berkata, golongan kurang upaya tetapi berkemampuan dan berkebolehan dalam bidang tertentu juga mesti diberi peluang mendapatkan pekerjaan yang sewajarnya.
Beliau berkata, budaya penyayang yang menjadi amalan rakyat serta kesediaan syarikat membantu serta mengambil golongan itu sebagai pekerja, akan dapat membina masyarakat progresif.
"Dengannya rakyat akan gembira dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik... yang memerlukan bantuan juga akan tahu ada pihak yang sedia menghulurkan bantuan," katanya pada majlis penyampaian Anugerah CSR Perdana Menteri 2007 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, semalam.
Dalam ucapan pada majlis yang pertama kali diadakan itu, Abdullah turut menceritakan kisah seorang bekas penyampai berita wanita yang tidak berjaya mendapat pekerjaan sejak hilang keupayaan.
"Beliau memberitahu saya: Pak Lah, tidak ada sesiapa yang mahukan saya kerana saya tidak berupaya. Tetapi, saya bagi tau dia, jika dia boleh duduk di atas kerusi, mengadap kamera dan nampak cantik, dia boleh lakukan apa yang perlu dilakukan.
"Tetapi, sedihnya, beliau masih belum mendapat pekerjaan," katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi.
Anugerah itu diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan menggalakkan semua syarikat sama ada besar atau kecil mengamalkan falsafah perkongsian tanggungjawab sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat dalam strategi perniagaan mereka.
Tujuh kategori dipertandingkan, iaitu Sosial dan Kebajikan Komuniti; Pendidikan; Alam Sekitar; Kebudayaan dan Warisan; CSR Syarikat Kecil; Budaya Kerja Cemerlang serta kategori khas Laporan Media.
Sebanyak 316 penyertaan diterima dengan DiGi Telecommunications Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang keseluruhan selepas memenangi dua kategori, iaitu anugerah Budaya Kerja Cemerlang serta Kebudayaan dan Warisan.
The New Straits Times Press (M) Bhd dan TV3 (Berita dan Hal Ehwal Semasa) pula memenangi kategori Laporan Media.
Abdullah gembira kerana anugerah yang julung kali diadakan itu mendapat penyertaan banyak syarikat yang menggambarkan sektor swasta memahami makna dan tujuan anugerah CSR diadakan.
Sambil melahirkan penghargaan kepada syarikat berkenaan, beliau yakin bilangan penyertaan akan bertambah tahun depan.
Abdullah juga berharap syarikat di negara ini akan berkembang maju dan seterusnya dapat memberi bantuan yang lebih kepada golongan yang memerlukan.
0 comments:
Post a Comment