Najib kesal Malaysia dituduh dalam darurat

SINGAPURA 14 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar tindakan duta Suruhanjaya Eropah ke Malaysia yang akan bersara, Thierry Rommel terhadap kritikannya mengenai urusan dalaman negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kenyataan Rommel itu hanyalah pendapat peribadi dan di luar batas tanggungjawab seorang duta yang mewakili sebuah badan antarabangsa atau negara.

“Malaysia menolak semua kenyataan Rommel itu, kerana ia bertentangan dengan fakta dan situasi sebenar negara ini.

“Semua kenyataan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali kerana semua negara berhak memiliki undang-undang masing-masing.

“Saya menyerahkan kepada Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan atau mengambil sebarang tindakan susulan berhubung kenyataan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Rommel dalam satu temu bual khas bersama agensi berita asing, Reuters menyifatkan Malaysia berada dalam keadaan darurat ketika polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Ahad lalu.

Dasar

Selain itu, Rommel turut mendakwa ketidakadilan dalam pilihan raya di Malaysia yang disifatkannya bukan satu rahsia serta mempertikaikan dasar kerajaan kepada golongan bumiputera.

Mengulas semua dakwaan tersebut, Najib berkata, polis menggunakan gas pemedih mata sebagai langkah terakhir untuk menyuraikan perhimpunan selepas amaran dikeluarkan terlebih dahulu.

“Polis tidak mengambil tindakan kasar. Mereka yang menyertai perhimpunan itu tahu ia adalah haram kerana polis tidak mengeluarkan permit tetapi terus berdegil untuk berhimpun,” katanya.

Mengenai isu pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, pilihan raya Malaysia dibuat secara telus dan adil dengan wakil pembangkang dibenarkan menyaksikan proses pengiraan undi.

“Barisan Nasional (BN) kalah di Kelantan, malah ada kerusi yang pembangkang menang dengan majoriti hanya dua undi. Jika kerajaan menipu, sudah tentu keputusan berkenaan ditukar,” jelasnya.

0 comments: