JBANS potong bekalan bil tertunggak

Oleh Hussain Said

SEREMBAN: Selepas 14 tahun bersabar, Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) semalam melancarkan gerakan besar-besaran memotong bekalan air pelanggan yang ingkar menjelaskan bayaran bil tertunggak mencecah RM64 juta sejak 1993.

Operasi berkenaan yang akan berjalan hingga bulan depan dengan tumpuan utama kepada 275,874 akaun bukan saja membabitkan premis kediaman dan sektor perkilangan, tetapi jabatan dan agensi kerajaan.

Rekod JBANS menunjukkan daerah Seremban mempunyai tunggakan tertinggi kira-kira RM34 juta, diikuti Port Dickson (RM14.2 juta), Jempol (RM5.1 juta), Kuala Pilah (RM4.1 juta), Rembau (RM3.1 juta), Tampin (RM2.9 juta) dan Jelebu (RM1.3 juta).

Operasi memotong bekalan pengguna dengan bil tertunggak semalam diketuai Ketua Unit Penguat Kuasa JBANS, Vizali Omar dengan tumpuan kepada premis perniagaan, pemaju perumahan dan sektor perkilangan di sekitar Senawang serta Nilai.

Pengerusi Jawatankuasa Tenaga, Air dan Komunikasi negeri, Datuk Mohamad Rais Zainuddin, berkata bil tertunggak itu membabitkan nilai tunggakan dari serendah RM20,000 sehingga mencecah jutaan ringgit dan meminta pengguna segera menjelaskan tunggakan masing-masing bagi mengelak bekalan dipotong.

"Pengguna yang tak mampu bayar sekali gus, boleh membuat rayuan kepada JBANS dan jika rayuan mereka berasas, kita boleh benarkan mereka bayar secara ansuran tiga kali. Pengguna juga diingatkan membayar tunggakan di kaunter JBANS dan pejabat pos.

"Jangan bayar tunggakan kepada penguat kuasa JBANS yang membuat pemotongan kerana mereka tiada kuasa menerima bayaran, sebaliknya hanya memotong bekalan air apabila diarahkan. Ingatan ini bagi mengelakkan pengguna ditipu pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya, di sini semalam.

Mohamad Rais tidak menolak kemungkinan pengguna mengambil mudah tanggungjawab mereka membayar bil semasa atau tunggakan itu sebagai satu bentuk protes, kecuaian atau terlupa kerana terlalu sibuk.

"Ada pengguna yang tak puas hati dengan bekalan air yang kurang memuaskan seperti kerap mengalami gangguan atau air yang keruh, tetapi ia tidak wajar dijadikan alasan. Masalah gangguan atau kualiti air bukan berlaku setiap masa, sebaliknya atas pelbagai sebab sukar dielakkan dan kekerapannya rendah," katanya.

"Jadi, pengguna perlu membayar bil air yang digunakan mereka bagi membantu kos penyelenggaraan dan penyediaan perkhidmatan supaya bekalan yang diterima sentiasa dalam keadaan baik serta bermutu," katanya.

0 comments: