Daripada NORAINI ABD. RAZAK
THE HAGUE, Belanda 14 Nov. – Malaysia mengemukakan lapan bukti penting bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Johor sebelum tahun 1847 dan bukannya terra nullius (tidak berpenghuni serta tidak dimiliki oleh sesiapa) seperti yang didakwa oleh Singapura.
Bukti-bukti penting itu berupa dokumen perjanjian yang dipersetujui sepanjang tahun 1824 hingga 1851 melibatkan Kesultanan Johor dan British.
Tiada dokumen dikemukakan oleh Singapura bagi membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius dan terbuka untuk diduduki oleh mana-mana kuasa sekalipun, hujah Profesor Elihu Lauterpacht.
Beliau memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini mengenai bukti pertama iaitu surat yang ditulis oleh Residen British di Singapura pada 10 Januari 1824 kepada pentadbiran di India mengenai jajahan Johor.
Surat tersebut, hujah Lauterpacht, menyebut tentang pulau-pulau jajahan Johor yang terletak di kawasan 254 batu nautika di timur tanah besar negeri itu dan ia semestinya termasuk Pulau Batu Putih yang berhampiran dengan Johor.
Profesor Lauterpacht kemudian mengemukakan dokumen kedua iaitu Perjanjian Crawfurd antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggong Johor yang berlangsung pada tahun 1824.
Menurutnya, Artikel II perjanjian itu menyebut Sultan dan Temenggong Johor dengan penuh kedaulatan menyerahkan Singapura serta kawasan berupa perairan, selat dan pulau-pulau yang terletak 10 batu dalam lingkungan republik itu.
“Ini jelas menunjukkan British mengakui kedaulatan Johor ke atas pulau-pulau jajahannya dan ia juga menggambarkan bahawa Johor mempunyai kedaulatan ke atas pulau-pulau kecil melepasi 10 batu dari Johor,” hujah Profesor Lauterpacht.
Beliau berkata, jika Singapura mempersoalkan hak Sultan Johor ke atas Pulau Batu Putih, maka persoalan yang sama terpakai dalam kes Singapura.
“Jika Sultan Johor tidak mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih pada tahun 1824, maka jelas ia juga tidak mempunyai hak ke atas Singapura.
“Dan jika Sultan Johor tidak mempunyai hak untuk diserahkan, maka British tidak menerima apa-apa, seperti yang sering dibangkitkan oleh pasukan Singapura, anda tidak boleh memberi apa yang anda tidak ada,” hujahnya.
Beliau kemudiannya secara sinis bertanya kepada mahkamah: “Adakah negara (Singapura) yang menentang Malaysia di mahkamah ini yang menjadi wilayah menerusi penyerahan hak tidak mempunyai pemiliknya.”
Profesor Lauterpacht kemudiannya menjelaskan bukti ketiga iaitu Surat Crawfurd bertarikh 3 Ogos 1824 yang mengiktiraf kedaulatan Johor ke atas pulau-pulau kecil dalam lingkungan 10 batu dari Singapura sebelum ia diserahkan kepada republik itu.
Tiga lagi dokumen yang dikemukakan oleh Malaysia Surat Crawfurd pada 1 Oktober 1824, Laporan Presgrave (Edward Presgrave) bertarikh 5 Disember 1828 mengenai kegiatan lanun di Selat Melaka serta sempadan empayar Johor termasuk di Pulau Batu Putih dan peta tahun 1842 yang disediakan atas arahan kerajaan Belanda.
Artikel yang tersiar dalam Singapore Free Press pada 25 Mei 1843 yang jelas menyebut Pulau Batu Putih antara pulau dikaitkan dengan kegiatan lanun terletak di bawah kuasa kerajaan Johor dikemukakan sebagai dokumen ketujuh.
Surat-menyurat antara Gabenor Butterworth dan Sultan serta Temenggong pada tahun 1844 berhubung cadangan pembinaan rumah api di pulau-pulau di bawah pentadbiran kerajaan Johor pula menjadi dokumen yang kelapan.
Selain bukti berupa dokumen, Profesor Lauterpacht turut menyentuh mengenai cara British datang ke Pulau Batu Putih yang jelas menunjukkan untuk membina rumah api dan tidak lebih daripada itu.
Beliau berhujah mengenai ketiadaan upacara rasmi (yang menjadi amalan wajib British setiap kali menakluk atau menjajah sesuatu tempat) seperti menaikkan bendera atau tembakan meriam membuktikan bahawa British hanya mengendalikan Rumah Api Horsburgh di pulau itu.
Lauterpacht turut menyentuh mengenai hujah Singapura bahawa Malaysia tidak pernah menjalankan sebarang aktiviti untuk menyaingi kedudukan Singapura di pulau miliknya sendiri.
“Apa yang Singapura harap Malaysia lakukan di pulau itu? Perlu diingat bahawa saiz Pulau Batu Putih amat kecil,” katanya sambil menunjukkan peta Pulau Batu Putih.
“Anda mendapati Pulau Batu Putih dikelilingi oleh bentuk empat segi yang menyamai saiz padang bola sepak dan separuh daripadanya telah dipenuhi dengan rumah api serta kemudahan sampingan.
“Di kawasan mana Johor boleh melakukan aktivitinya. Dan apakah bentuk aktiviti untuk bersaing di pulau tersebut, adakah dengan membina satu lagi rumah api,” hujah beliau.
Oleh itu, hujah Profesor Lauterpacht, dakwaan Singapura bahawa ketiadaan aktiviti oleh Johor membuktikan pulau itu milik mereka hanyalah sia-sia.
Johor telah memberi keizinan kepada British untuk mendirikan rumah api di Pulau Batu Putih dan menyerahkan kepadanya untuk mengendalikan rumah api itu serta lain-lain aktiviti berkaitan.
Persidangan berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura. Delegasi Malaysia diketuai oleh Duta-Duta Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad.
– Utusan
0 comments:
Post a Comment