Tok Bali tarik pelabur Arab

Oleh Ismail Mat

Projek taman perikanan rangsang ekonomi, tingkat pendapatan nelayan

KOTA BHARU: Beberapa pelabur dari Asia Barat sudah menunjukkan minat untuk meneroka sektor perikanan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), terutama di Kelantan.

Sekretariat ECER berkata, pelabur Asia Barat terbabit berminat dengan taman perikanan Tok Bali terutama dalam aktiviti pemprosesan seperti penghasilan keropok dan nuget.

"Selain pelabur asing, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga menerima banyak pertanyaan daripada pelabur tempatan yang turut menunjukkan minat sama.

"Maklum balas projek ini amat baik berikutan pembabitan pelbagai kementerian dan jabatan. Perkembangan ini mampu menggalakkan aktiviti perikanan bersepadu yang boleh memberi faedah ekonomi kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kenyataan itu menyebut pembangunan Tok Bali juga akan membolehkan bot lebih besar berlabuh di situ yang secara langsung akan menggalakkan industri baik pulih bot di kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat.

Katanya, setakat ini, kerajaan Pusat sudah membelanjakan kira-kira RM50 juta bagi pembinaan taman perikanan di kawasan terbabit dan fasa terakhir pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi.

Penolong Pegawai Jabatan Perikanan Kelantan, Azizan Ahmad, berkata nelayan setempat memberi sokongan yang baik terhadap projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan di Tok Bali.

"Menjadi harapan penduduk setempat agar pembangunan yang dirancang mampu menarik pelabur ke Tok Bali, seterusnya merangsang kegiatan ekonomi setempat.

"Pembangunan itu dijangka menggalakkan lagi potensi perikanan laut dalam di Tok Bali yang ketika ini menjadi tumpuan 168 bot laut dalam berlabuh," katanya.

Azizan berkata, pembangunan yang dirancang di kawasan itu diharap mampu mengurangkan pergantungan kepada orang tengah dalam perniagaan perikanan dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan nelayan.

Sekretariat ECER berkata, pelabuhan perikanan bersepadu Tok Bali akan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri berasaskan perikanan yang menjadi tumpuan di Pantai Timur.

Ketika ini, industri perikanan di Tok Bali membabitkan 5,616 nelayan sepenuh masa dengan 31 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

0 comments: