Isu klip video hakim: Panel syor tubuh Suruhanjaya Diraja

Oleh Amirullah Andi Nur

Kabinet buat keputusan muktamad minggu depan

KUALA LUMPUR: Panel bebas khas yang menyiasat kesahihan rakaman dan perbualan didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara sepakat mencadangkan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

Sumber memberitahu, panel itu yang ditubuhkan September lalu dan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor bersetuju inkuiri diadakan terhadap dakwaan itu.

Selain Haidar, panel turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Majlis Peguam yang sebelum ini mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan itu.

Dalam pada itu, keputusan muktamad mengenai hasil siasatan panel khas yang diserahkan kepada kerajaan, Jumaat lalu, akan ditentukan oleh Kabinet minggu depan.

Laporan itu diterima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid. Serentak dengan penyerahan laporan itu juga, panel khas terbabit turut dibubarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, sudah memberi taklimat kepada Kabinet mengenai kandungan laporan panel itu.

"Kita hanya dapat memaklumkan mengenai keputusan Kabinet itu minggu depan. Semua anggota Kabinet akan diberikan satu salinan laporan itu esok (hari ini)," katanya tanpa mengulas lanjut maklumat disampaikan Sidek.

Nazri berkata, semua anggota Kabinet akan diminta memberi input masing-masing, manakala tiga menteri yang mempunyai latar belakang undang-undang diberi tugasan untuk memberi pandangan dari perspektif perundangan.

Selain Nazri, dua lagi anggota Kabinet terbabit ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau yang ditemui media di lobi Parlimen semalam, bagaimanapun enggan menyatakan isi kandungan cadangan panel itu.

0 comments: