Kurang terbit buku punca ranking jatuh

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) tidak tersenarai di kalangan 200 Universiti Terbaik Dunia 2007 kerana kurang menghasilkan penerbitan dan penyelidikan untuk menjadi rujukan pada peringkat antarabangsa.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak, berkata kekurangan penerbitan dan penyelidikan meletakkan kedudukan universiti itu di tangga 307 dalam senarai berkenaan.

"Kekurangan ini menjejaskan peluang USM untuk berada dalam senarai antara universiti terbaik dunia kerana ia menyumbang jumlah markah yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Naib Canselor kepada tiga pelajar cemerlang program Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Seni, USM di sini, semalam.

Mereka ialah Chan Choi Yee, 25, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan dua pelajar warga Arab, Monther Rateb Mohd Enayah, 24, (Pusat Pengajian Sains Komputer) dan Aydin Behnam, 27, (Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan).

Awal bulan ini, Times Higher Education Supplement-Quacquarelli Symonds (THES-QS) yang berpangkalan di London, mengeluarkan senarai kedudukan institut pengajian tinggi dunia termasuk Malaysia.

Universiti Malaya (UM) berada dalam ranking ke-246, USM (307), Universiti Kebangsaan Malaysia (309) dan Universiti Putra Malaysia (364).

Tahun lalu, UM menduduki tangga 192, USM (277), UKM (182) dan UPM (292).

0 comments: