Dewan Rakyat: 2,772 kes muflis dibatal sehingga Julai tahun ini

Laporan Abdul Razak Raaff

37,272 jumlah terbaru dikesan, Selangor catat angka tertinggi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 158,042 kes muflis terkumpul dan 37,272 kes terbaru di seluruh negara sejak 2005 hingga 31 Julai lalu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, sebanyak 6,813 kes muflis dilupuskan mahkamah, manakala 2,772 kes pula dibatalkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah kes muflis baru didaftarkan menurun daripada 15,868 kes pada 2005 kepada 13,590 kes pada tahun berikutnya.

Katanya, jumlah kes muflis terkumpul daripada 2005 hingga Julai lalu, menunjukkan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 26,086 kes, diikuti Wilayah Persekutuan (24,719 kes) dan Johor Bahru (18,262 kes).

Selain itu, sebanyak 11,568 kes muflis terkumpul direkodkan di Pulau Pinang, Ipoh (9,371 kes), Muar (9,058 kes), Kedah (8,447 kes), Kelantan (6,257 kes) dan Melaka (5,178 kes).

"Selepas sesuatu kes muflis dibatalkan, Jabatan Insolvensi Malaysia akan mengambil tindakan seperti mengiklan dan mewartakan kes terbabit.

"Kita juga akan menyemak baki estet untuk memastikan sama ada tindakan membayar dividen dibuat atau sebaliknya," katanya dalam jawapan bertulis soalan Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau ingin tahu jumlah kes muflis terkumpul dan kes baru bagi tahun 2005 hingga tahun ini mengikut Akta Kebankrapan 1967.

Selain itu, Abdullah berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia akan bertindak memulangkan lebihan bayaran selepas ditolak semua perbelanjaan dan pembayaran yang perlu dibuat serta memohon ke mahkamah bagi pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 82 akta sama.

0 comments: