Wanita 24 tahun hakim syarie dipertikai

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mempertikaikan keputusan Kerajaan Perlis melantik seorang wanita berusia 24 tahun sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kangar, sekali gus menjadi hakim syarie wanita pertama di negara ini.

Presidennya, Zainul Rijai Abu Bakar, berkata walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan harus bagi pelantikan wanita sebagai hakim syarie, wanita itu mesti berkelayakan dan memenuhi kriteria tertentu.

Beliau berkata, pihaknya meragui kredibiliti wanita berkenaan kerana tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

"Untuk menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah perlulah mengikut amalan yang ada sekarang, iaitu terlebih dulu berkhidmat sebagai pegawai Sulh, pegawai syariah di Biro Bantuan Guaman, penolong pendaftar atau pegawai penyelidik.

"Apabila mempunyai pengalaman yang cukup, barulah seseorang itu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, dilaporkan berkata Perlis sudah mempunyai calon wanita sesuai dan surat tawaran sudah dihantar untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Majlis Fatwa pada 6 April tahun lalu memutuskan harus bagi wanita Islam yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, hakim wanita tidak boleh mengadili kes hudud dan qisas.

Zainul berkata, pihaknya tidak pernah mempertikaikan wanita sebagai hakim syarie, tetapi ia mesti mempunyai kelayakan dan berwibawa.

Malah, katanya, pelantikan wanita dapat membetulkan persepsi pelaksanaan keadilan di Mahkamah Syariah dengan mendakwa hakim lelaki tidak sensitif terhadap masalah wanita.

0 comments: