MB: Jangan kaitkan kepercayaan karut

Oleh FAUZIAH AROF

SHAH ALAM 14 Nov. – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyifatkan pihak yang mengaitkan penyapu dengan kepercayaan karut seperti membawa sial serta menghina merupakan golongan yang masih berfikiran kolot.

Beliau menjelaskan, pemberian penyapu seperti yang disampaikan dalam Majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Selangor kelmarin bukan satu penghinaan tetapi merupakan mesej jelas kerajaan negeri supaya penerima bekerja lebih kuat.

Tegas beliau, apa sahaja mesej yang hendak disampaikan mengenai keperluan meningkatkan sistem penyampaian perlu jelas.

‘‘Kita kalau hendak buat sesuatu biar dapat mesej yang jelas, sebab sekarang ini orang dah tidak pandai kias-kias lagi,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mohamad Khir menjelaskan, anugerah penyapu itu telah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua ketua-ketua jabatan dan setiap Yang Dipertua Majlis Daerah lebih setahun yang lalu.

‘‘Jadi jika tidak capai seperti yang disasarkan, mereka setuju dengan anugerah itu. Mesej itu jelas dan kita juga telah mengkaji semua implikasi dengan anugerah ini,’’ katanya.

Sehubungan itu Mohamad Khir berkata, pihak yang mengaitkan penyapu sebagai simbol sial dan sebagainya perlu menilai diri sendiri dan melihat kepada persekitaran.

‘‘Golongan ini perlu periksa diri dan tanya kenapa orang Melayu mundur. Ini semua kerana percaya banyak sangat benda yang khurafat dan tahyul.

‘‘Saya tidak percaya orang kata penyapu ini sial dan satu penghinaan. Dalam al-Quran pun tak sebut penyapu itu sial,’’ tegasnya.

Kelmarin, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 itu, Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.

Mohamad Khir yakin, pada tahun depan, tiada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan menerima anugerah penyapu kerana sehingga kini tiada yang berada di bawah 50 peratus dari segi kutipan cukai.

0 comments: