Oleh ABDUL RAZAK DIN
IPOH 14 Nov. – Laporan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) menyatakan kelemahan pada cerucuk dan ketidaksuaian reka bentuk bangunan mungkin menjadi punca bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding, Gerik dekat sini runtuh semalam, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali hari ini.
Beliau berkata, di samping itu kajian awal JKR mendapati tiang bangunan tidak dapat menampung beban yang semakin bertambah selain bahan binaan yang mungkin turut menyumbang kepada kejadian tersebut.
“Kita sedang mengkaji punca sebenar kejadian itu dan saya berharap kejadian seumpama ini tidak berulang lagi dan kejadian bangunan runtuh ini adalah pertama sejak saya menjadi Menteri Besar.
“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dalam kejadian ini dan hanya akan menuntut ganti rugi apabila kajian selesai dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah bangunan dua tingkat milik PTNP yang sudah hampir siap di Tasik Banding runtuh sama sekali dipercayai akibat kerosakan pada strukturnya.
Katanya, beliau telah mengarahkan supaya ditubuhkan sebuah badan penyiasat bebas professional termasuk disertai oleh JKR untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan bebas terhadap semua aspek berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, badan penyiasat itu akan menyiasat syarikat, juru perunding dan kontraktor projek bernilai RM4.5 juta yang dibiayai oleh Kementerian Pelancongan itu.
Menurutnya, bangunan dua tingkat yang runtuh itu menempatkan 14 bilik iaitu untuk ruang pejabat, bilik pameran dan tempat letak kereta merupakan fasa pertama projek di tasik terbesar itu yang mula dilaksanakan pada tahun 2004 dan sepatutnya siap setahun kemudian.
Beliau menambah, bangunan itu belum diserahkan kepada kerajaan.
“Sebenarnya kerajaan negeri telah dimaklumkan terdapat masalah terhadap bangunan ini sejak dua tiga minggu lalu dan telah meminta JKR menyiasatnya kerana terdapat kesan-kesan pergerakan tanah.
“Apakan daya semasa siasatan sedang dijalankan dan dalam usaha untuk memperbaikinya tiba-tiba ia runtuh semalam. Oleh sebab itu, semuanya (pembinaan) perlu bermula dari asas semula,” katanya.
Menurutnya, tender projek ini dikendali oleh perunding dan kontraktor untuk projek tersebut dilantik oleh sebuah badan dan kerajaan negeri diwakili oleh Pengarah Pembangunan Negeri dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebagai urusetia projek.
“PTNP tidak mempunyai badan pemantau dari aspek teknikal dalam projek ini dan kita sedang mengkaji dengan Penasihat Undang-Undang Negeri siapa sepatut memantaunya,” katanya.
Tajol Rosli berkata, ekoran daripada kejadian itu, fasa kedua projek PTNP yang berharga RM5 juta terpaksa ditangguhkan sehinggalah laporan dikeluarkan oleh badan penyiasat itu.
“Saya akan melawat tempat kejadian pada Jumaat ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment