M. Rajoli jalani rawatan kemoterapi

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pelakon lelaki terkenal, M. Rajoli kini menjalani rawatan kemoterapi dan fisioterapi di Hospital Ampang, di sini selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di otak kirinya pada 11 Oktober lalu.

M. Rajoli, 62, atau nama sebenarnya Mohd. Rajab Mohamed yang sering melakonkan watak orang alim ditempatkan di Wad Hematologi 7A, hospital berkenaan.

Beliau sebelum ini menjalani pembedahan membuang separuh daripada ketumbuhan dalam otaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Isterinya, Wan Chik Othman atau Wan Chik Daud ketika ditemui di wad tersebut di sini hari ini berkata, suaminya perlu menjalani rawatan kemoterapi dan fisioterapi itu selama setahun.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Radhi Khalid, yang melawat pelakon tersebut menyampaikan cek skim pencen Karyawan.

Menurut Radhi, pemberian skim tersebut adalah sebagai bantuan kepada M. Rajoli kerana tidak dapat bekerja untuk tempoh setahun.

“Dengan pemberian skim ini, M. Rajoli secara automatik menjadi penerima skim pencen Karyawan yang ke-17 dan akan menerima bantuan seumur hidup sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Turut melawat pelakon itu ialah Yusni Jaafar, Syanie, Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Nassier Wahab, Chef Yang Jamil dan Mas Omar.

0 comments: