Kurikulum universiti perlu selaras industri

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu institut pengajian tinggi (IPT) menangani masalah pengangguran di kalangan graduan dengan mengambil kira maklum balas majikan dalam membentuk kurikulum di universiti.

Baginda juga mahu IPT mengambil kira kehendak industri dan pasaran kerja dengan meningkatkan kaedah pengajaran yang menggalakkan proses interaksi bagi meningkatkan kemahiran komunikasi graduan di semua peringkat pengajian.

"Graduan sukar mendapat pekerjaan menjadi antara isu utama pada masa kini. Majikan biasanya mendakwa graduan universiti tidak ada keserasian dengan keperluan industri.

"Mereka juga (majikan) menyatakan graduan ada masalah dengan ketrampilan dan berkomunikasi. Oleh itu, beta berharap universiti dapat menangani dua masalah ini secara menyeluruh berdasarkan maklum balas pihak industri," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-67 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Sri Budiman di sini, semalam. Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berangkat pada majlis istiadat itu.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah.

Tuanku Mizan yang juga Canselor UiTM sebelum itu berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana dan ijazah program profesional kepada 512 graduan pada sesi pertama termasuk 14 graduan sulung bagi Ijazah Sarjana Muda Teknologi Perubatan dengan Kepujian.

Seramai 15,106 graduan menerima PhD, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma pada konvokesyen kali ini yang diadakan selama sembilan hari dalam 19 sidang.

Tuanku Mizan bangga kerana graduan UiTM tidak berdepan masalah besar untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Tuanku Mizan bertitah, UiTM selaku universiti awam terbesar di negara ini diyakini mampu mengekalkan kualiti walaupun jumlah pelajar ditingkatkan sehingga 200,000 menjelang 2015.

0 comments: