Bangunan runtuh dikesan bermasalah 3 minggu lalu

Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Rasheffa Abdul Rashid


SIASAT PUNCA: Sisa bangunan dua tingkat milik PTNP di Tasik Banding, di Grik yang runtuh pagi kelmarin.

IPOH: Struktur bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding di Grik dekat sini, yang runtuh pagi kelmarin, sudah menunjukkan 'masalah' kira-kira tiga minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata sebaik dimaklumkan pegawai PTNP mengenainya, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Grik menyiasat struktur bangunan bernilai RM4.5 juta itu.

Beliau berkata, pemeriksaan awal JKR mendapati kejadian itu berlaku kerana satu atau dua tiang bangunan berkenaan lemah, menyebabkan tiang lain tidak dapat menampung beban bangunan selain reka bentuk dan bahan digunakan tidak sesuai.


"Satu jawatankuasa profesional dianggotai jurutera dan arkitek akan ditubuhkan bagi mengetahui punca sebenar runtuhan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Tajol Rosli berkata, pihaknya menerima maklumat awal struktur bangunan itu semakin condong dan meminta JKR untuk mengambil langkah sewajarnya membaiki dan mengukuhkan cerucuknya.

Separuh daripada struktur bangunan itu mula runtuh pada jam 8 pagi dan ranap sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Projek itu sepatutnya dibina dalam dua fasa dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM9.5 juta, dengan fasa pertama membabitkan RM4.5 juta. Tender itu ditawarkan kerajaan Persekutuan dan dikendalikan sebuah syarikat juru perunding yang bertanggungjawab melantik kontraktor.

Sementara itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata Pengarah JKR Perak diarah menghantar laporan kejadian itu untuk mengetahui sama ada ia membabitkan kerosakan struktur sebelum dibentangkan ke Kabinet.

Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak, Samsiah Abu Bakar, pula berkata pihaknya menubuhkan pasukan khas, semalam, untuk menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam kejadian itu.

Katanya, semua pihak yang terbabit dalam projek berkenaan termasuk kontraktor, perunding serta pihak yang meluluskan projek itu akan disiasat dengan kerjasama JKR.

0 comments: