Polis kesan identiti penulis rencana unsur hasutan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan identiti sebenar penulis rencana berjudul Bersatulah Kaum Cina yang mengandungi unsur hasutan dan perkauman dalam laman web Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata siasatan polis menunjukkan penulis rencana menggunakan nama samaran, Dr Ng Seng seperti dipaparkan dalam laman web JPM pada 14 November 2005.

Beliau berkata, pemaparan rencana itu dibuat salah kerana laman web JPM tidak mengadakan kemudahan kepada orang ramai untuk menyiarkan rencana mereka, sebaliknya menyediakan ruang untuk mereka memberi komen terhadap laman web itu.

"Polis masih meneruskan siasatan mencari identiti sebenar pengarang rencana itu kerana dia tidak menggunakan nama sebenar termasuk menyiasat bagaimana rencana berkenaan boleh dipaparkan di laman web JPM.

"Beberapa orang saksi penting juga dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan. Selain itu, polis sudah mengambil percakapan saksi dan pengadu," katanya dalam jawapan bertulis soalan Lim Kit Siang (BN-Ipoh Timur) di sini, semalam.

Lim ingin tahu perkembangan terkini mengenai rencana bersifat menghasut dan mengapi-apikan sentimen perkauman dalam laman web itu.

Perdana Menteri berkata, polis menyiasat perkara itu selepas seorang lelaki berusia 49 tahun, Liu Tian Khiew pada 30 Julai lalu, membuat laporan polis selepas membaca satu rencana dalam laman web JPM.

Mengikut fakta kes itu, Liu membaca rencana berkenaan yang ditulis seseorang bernama Dr Ng Seng yang menyeru kaum Cina bersatu menghadapi orang Melayu dari segi politik dan mengekalkan kuasa ekonomi kaum terbabit.

0 comments: