MB pertahan Anugerah Penyapu

Oleh Abdul Razak Raaff dan Rafidah Mat Ruzki

Cuepacs anggap cara Kerajaan Selangor nilai prestasi PBT jatuhkan morak kakitangan awam

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, mempertahankan penganugerahan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal mencapai sasaran kutipan cukai taksiran kerana ia bukan bermaksud untuk menghina atau mengaibkan.

Katanya, beliau tidak percaya dengan anggapan sesetengah pihak yang penyapu itu membawa sial dan satu penghinaan, sebaliknya meminta mereka memeriksa diri sendiri.

"Bagi saya, saya rasa lebih hina apabila bangsa saya tidak mencapai kemajuan. Saya rasa lebih hina apabila negara saya terus mundur dan saya rasa lebih hina apabila mana orang masih mengatakan sistem penyampaian awam tidak meningkat," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Kebudayaan Cina Selangor di sini, semalam.


Dr Mohamad Khir berkata, penganugerahan secara simbolik penyapu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang gagal mencapai sasaran minimum ditetapkan, dilakukan selepas memberi surat peringatan dan menjalankan tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini prestasi semua PBT di Selangor sudah bertambah baik dan penganugerahan itu hanya diteruskan jika masih ada PBT gagal melepasi paras minimum ditetapkan.

Ditanya kedudukan daerah Hulu Selangor jauh dari kawasan bandar, Dr Mohamad Khir berkata, Kerajaan Selangor sudah mengambil kira semua aspek dan tidak terlalu ketat ketika membuat keputusan.


Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri mengisytiharkan 2008 sebagai Tahun Produktiviti Selangor bagi meningkatkan produktiviti kakitangan kerajaan serta penduduk.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, semalam meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenalkan 'Anugerah Penyapu' kepada pegawai pertanian yang gagal melaksanakan tugas membantu petani dengan berkesan.

"Pengalaman saya sendiri melihat nasib petani masih tidak berubah seperti dulu walaupun pihak media menyiarkan banyak berita mengenai pembangunan bioteknologi untuk tingkatkan keluaran pertanian," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa, pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.

Di KUALA LUMPUR, Bernama melaporkan, Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata anugerah ganjil itu dianggap menjatuhkan moral kakitangan awam di Selangor.

Katanya, tindakan tegur secara bersemuka, perjumpaan tertutup dan memperkenal sistem bintang atau taraf lebih berkesan bagi merangsang agensi kerajaan mencapai prestasi yang disasarkan.

Presiden Kesatuan Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Azih Muda, pula berkata lebih wajar jika pencapaian atau kelemahan sesuatu jabatan atau PBT diukur dalam bentuk 'rating' atau sistem bintang, seperti dalam bidang perhotelan.

0 comments: