BPR siasat bangunan PTNP runtuh

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

IPOH 14 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak hari ini menubuhkan serta-merta dua pasukan penyiasat bagi menyiasat kes bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding yang runtuh semalam.

Pengarahnya, Samsiah Abu Bakar berkata, ia bagi menyiasat kemungkinan wujudnya salah laku dalam proses pembinaannya.

Katanya, pasukan itu yang dianggotai enam pegawai telah pergi ke tempat kejadian hari ini untuk memulakan siasatan.

Tambah beliau, BPR negeri turut meminta bantuan unit forensik dari ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiasat punca kejadian.

“Kita sebenarnya terus membuka fail siasatan sebaik sahaja melihat laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini kerana kita lihat ada sesuatu yang tidak kena ekoran berlakunya runtuhan itu.

“Perkara ini sudah jadi isu nasional selepas keluar akhbar dan kita perlu menyiasat perkara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sebuah bangunan dua tingkat milik PTNP yang sudah hampir siap di Tasik Banding di sini, runtuh sama sekali.

Menurut saksi, separuh daripada struktur bangunan yang dibina sejak empat tahun lalu itu runtuh pada pukul 8 pagi semalam dan ranap sepenuhnya kira-kira pukul 10 pagi.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian runtuhan bangunan yang belum diduduki itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, di samping bangunan yang runtuh itu terdapat juga kejadian tanah runtuh di bahagian belakang bangunan yang dibina di lereng Tasik Banding tersebut.

Bangunan itu yang dibina dengan kos RM4.5 juta sepatutnya menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum.

0 comments: