KUALA LUMPUR 14 Nov. – Beberapa tokoh agama dan budayawan negara menyifatkan tindakan kerajaan negeri Selangor menghadiahkan penyapu kepada salah satu agensinya kelmarin dianggap satu penghinaan dan keterlaluan dari sudut budaya Melayu sebagai kurang wajar.
Menurut mereka, menghadiahkan penyapu di hadapan khalayak membawa maksud yang tidak baik, tidak sopan dan memalukan di kalangan masyarakat Melayu.
Pendakwah bebas, Daud Che Ngah berkata, beliau tidak bersetuju dengan penganugerahan penyapu itu yang dilihat sengaja menjatuhkan maruah orang lain walaupun mempunyai maksud yang simbolik.
Katanya, amalan itu boleh membawa hukum berdosa dalam Islam kerana mengaibkan maruah orang lain secara terang-terangan.
‘‘Sungguh memalukan apabila ketua jabatan kerajaan sendiri yang dijemput naik ke atas pentas untuk mengambil penyapu berkenaan.
‘‘Sungguhpun prestasi salah satu agensi kerajaan tidak baik, hadiah penyapu di hadapan khalayak bukan cara yang terbaik, malah, banyak kaedah yang lebih berkesan boleh dilakukan seperti memberi amaran dan mengenakan peraturan yang lebih ketat,’’ katanya dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menghadiahkan ‘penyapu’ kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik.
Mohamad Khir menjelaskan, pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simbolik, bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif pihak berkuasa tempatan dan jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.
Langkah tersebut mengundang pelbagai reaksi kurang senang beberapa pihak yang menyifatkan tindakan itu sebagai mengaibkan.
Pengarah Bahagian Bahasa al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abd. Kadir pula memberitahu, tindakan menghadiahkan penyapu tidak sesuai dalam amalan agama Islam mahupun dari sudut budaya Melayu.
Jelasnya, dari sudut budaya Melayu, ia seolah-olah ‘menghalau atau menghina orang yang datang ke sesuatu majlis atau ke rumah kita’.
‘‘Kalau ia memberi pengajaran yang baik kepada seseorang tetapi tidak memalukan, ia mungkin boleh diterima.
‘‘Jika ia dilakukan dalam keadaan yang marah dan bertujuan untuk memalukan sesetengah orang kerana tidak mencapai kemajuan seperti yang diinginkan, ia adalah tidak baik,’’ ujarnya.
Sementara itu, tokoh budayawan, Azah Aziz pula berkata, tindakan menghadiahkan penyapu kepada orang lain merupakan sesuatu yang kurang ajar dan tidak sopan.
Katanya, tindakan itu menunjukkan satu perasaan yang sememangnya bertujuan untuk menghina orang lain.
‘‘Sebagai satu mekanisme perubahan, ia mungkin boleh dianggap satu perkara yang positif untuk menginsafkan orang lain. Namun, ia tetap tidak digalakkan kerana banyak kaedah lain yang lebih baik,’’ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment