Perkhidmatan feri Kuala Perlis-Langkawi diperiksa

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KANGAR 14 Nov. – Jabatan Laut Semenanjung Malaysia hari ini mengadakan pemeriksaan terhadap perkhidmatan feri Kuala Perlis-Langkawi di Jeti Kuala Perlis, dekat sini bagi memastikan pengusaha pengangkutan awam itu meningkatkan tahap keselamatan menjelang cuti persekolahan ini.

Timbalan Pegawai Pelabuhan Jabatan Laut Kuala Perlis, Parmaswran Manikam berkata, pemeriksaan itu adalah prosedur biasa sempena cuti sekolah kerana pada waktu itu, bilangan penumpang dijangka meningkat berkali ganda.

‘‘Antara yang diberi keutamaan dan diperiksa adalah penggunaan peralatan keselamatan, pintu kecemasan serta kelayakan kakitangan yang berkhidmat di sesebuah feri tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Parmaswran berkata, pemeriksaan terhadap feri akan dilakukan secara kerap bagi mengelak ada pengusaha feri melanggar undang-undang yang seterusnya mampu mengancam keselamatan penumpang.

‘‘Pemeriksaan akan dijalankan setiap kali feri berlepas ke Langkawi dari Jeti Kuala Perlis.

‘‘Kita turut memeriksa jaket keselamatan sama ada ia berfungsi atau tidak dan sama ada mencukupi bagi sesebuah feri,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberi peringatan kepada pengusaha feri agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Di bawah peraturan itu, katanya, setiap pengusaha feri dikehendaki memastikan segala peralatan keselamatan dan pintu kecemasan feri adalah berfungsi.

‘‘Mereka juga perlu memastikan lesen perkhidmatan dan lesen kelayakan memandu bagi kapten feri tidak tamat tempoh,” tambahnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Kuala Perlis mendapati orang ramai sudah mula membuat tempahan tiket untuk ke Langkawi pada hujung minggu ini sempena cuti sekolah.

Perkhidmatan feri dijangka sesak bermula cuti persekolahan pada Jumaat ini.

0 comments: