BPR teruskan siasatan salah urus dana awam

GEORGETOWN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih meneruskan siasatan berhubung penyelewengan dan salah urus dana awam membabitkan pegawai dan kakitangan awam di beberapa kementerian dan kerajaan negeri, selain pihak berkuasa tempatan susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Pada masa sama, BPR meminta kementerian dan ketua jabatan melaporkan kepada pihaknya jika mendapati ada unsur penyelewengan dalam jabatan masing-masing ketika mereka melakukan semakan ke atas laporan itu.

Timbalan Ketua Pengarah I (Operasi) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, menjelaskan pihaknya menyiasat apabila ada unsur jenayah, manakala soal pematuhan prosedur dilakukan kementerian dan ketua jabatan.

"Jika berlaku (mendapati) kesalahan jenayah rasuah (selepas melakukan semakan), adalah menjadi tanggungjawab kementerian dan ketua jabatan untuk melaporkan kepada BPR dan kami akan melakukan siasatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah eksekutif bertajuk 'Kukuhkan Etika, Pertahankan Integriti dan Cemerlangkan Organisasi' di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia di sini, semalam.

Abu Kassim diminta mengulas mengenai penahanan dan pendakwaan 15 orang termasuk kakitangan awam dan orang awam susulan pendedahan laporan audit itu, sehingga akhir Oktober lalu.

0 comments: