PUTRAJAYA 14 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf dan kerajaan Malaysia diperintahkan membayar ganti rugi kepada empat lelaki setelah Mahkamah Rayuan memutuskan mereka melakukan kecuaian dalam satu insiden tembak-menembak di plaza tol Sungai Besi, 24 tahun lalu.
Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang mengetuai sidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Vincent Ng Kim Koay memutuskan sebulat suara ketika membenarkan dengan kos rayuan yang dikemukakan oleh Ngan Chong Meng, Ngui Pau Keong, Lim Chye Thiam dan Chai Chit Moey.
Hakim Suriyadi memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk taksiran ganti rugi oleh Timbalan Pendaftar.
Keempat-empat lelaki itu merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman mereka terhadap Asisten Superintendan (ASP) Ramli Yusuf (ketika itu) dan kerajaan Malaysia yang didakwa cuai dalam menjalankan tugas mengetuai satu serbuan untuk menahan keempat-empat perayu.
Pada 25 Mac 1997, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong Cheng Yuen (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa operasi untuk menahan keempat-empat perayu yang disyaki sebagai penculik yang membawa senjata merbahaya, telah dirancang dengan buruk.
Bagaimanapun, beliau memutuskan bahawa tiada tindakan atau prosiding undang-undang boleh diambil terhadap pegawai dan anggota polis terbabit kerana operasi itu dilakukan dengan niat yang baik (good faith) bersandarkan peruntukan Seksyen 5 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Khas) 1979.
Pada masa kejadian, pada pukul 3.30 petang, 24 Mac 1983, keempat-empat lelaki itu yang dalam perjalanan ke Singapura, telah ditembak oleh sepasukan anggota polis yang diketuai oleh Ramli. Akibatnya, perayu pertama (Ngan) dan kedua (Ngui) mengalami kecederaan dalam kejadian tembak-menembak itu.
Keempat-empat perayu mendakwa pasukan polis itu bertindak kejam dan tidak mengikut perlembagaan malah telah menyebabkan kerosakan, kecederaan dan kejutan ke atas mereka. Mereka menuntut ganti rugi, faedah dan kos.
Dalam kenyataan pembelaan mereka, responden-responden mendakwa empat lelaki terbabit ditembak kerana mereka enggan berhenti ketika diarahkan berbuat demikian malah tidak menghiraukan amaran yang diberikan.
Dalam hujahnya, peguam Karpal Singh yang mewakili perayu berkata, hakim bicara terkhilaf dalam keputusannya menolak saman tersebut kerana tiada bukti kukuh untuk menunjukkan pihak polis bertindak dengan wajar ketika menahan empat lelaki itu.
Katanya, pihak polis gagal bertindak dengan penuh perhatian ketika menembak lelaki itu secara terbuka.
Peguam Kanan Persekutuan Rozi Bainon berhujah, terdapat bukti yang menunjukkan pihak polis tidak berniat jahat dalam insiden itu memandangkan mereka menembak ke arah tayar kereta yang dinaiki perayu untuk memberhentikan kenderaan tersebut.
‘‘Pasukan polis tersebut tidak berniat mencederakan atau membunuh perayu-perayu,” katanya.
Hujah tersebut menyebabkan Hakim Vincent Ng menimbulkan persoalan, kenapa 25 das tembakan dilepaskan secara terbuka dan disasarkan menghala ke atas serta bukannya dihalakan ke arah tayar.
Hakim Suriyadi pula mencelah: ‘‘Kalau lepaskan dua atau tiga tembak, okeylah. Ini lepas macam apa aje? Macam nak bunuh orang.”
Hakim Vincent Ng kemudian berkata, tindakan polis itu seolah-olah berlaku di pekan koboi (cowboy town).
‘‘Ini macam pekan koboi. Kami mahu mencegah perkara sebegini daripada berlaku. Siapa tahu mungkin kami yang berada dalam kereta itu,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment