Daripada Khirul Bahri Basaruddin di The Hague, Belanda
TUNTUTAN DUA NEGARA: Barisan hakim dan delegasi Malaysia (sebelah kanan) serta Singapura (sebelah kiri) mendengar Schrijver mengemukakan hujah pada hari kedua Kerajaan Malaysia berhujah di ICJ, di The Hague, semalam. |
Kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh tidak boleh dipertikai
SEJARAH yang disokong keterangan kukuh membuktikan perjanjian Johor-British dan British-Belanda pada 1824 mengesahkan Sultan Johor mempunyai hak milik asal dan kemudian Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Peguam Prof Nicolaas Jan Schrijver, berkata mengikut sejarah, Sultan Johor mempunyai kedaulatan ke atas wilayah di utara dan selatan Selat Singapura sejak 1824.
Katanya, kedaulatan Sultan Johor itu disokong Treti British-Belanda 1824 dan Treti Crawfurd 1824 yang antara lain menyatakan kedaulatan itu termasuk untuk semua pulau serta bentuk maritim lain yang terletak dalam dan kawasan sekitar Selat Singapura.
Schrijver berkata, Treti British-Belanda yang menggaris sempadan pengaruh kedua-dua negara penjajah itu antara lain menyatakan Belanda tidak ingin menuntut wilayah di utara pulau di bahagian selatan Selat Singapura.
"Singapura, Melaka dan kawasan lain, pulau, laut sekitar semenanjung diletakkan di bawah pengaruh British. Belanda menumpukan pengaruhnya di Sumatera dan pulau lain di bahagian selatan Selat Johor.
"Sehubungan itu, Singapura sebahagian daripada Kesultanan Johor berada di semenanjung Malaya dan semua pulau yang berada dalam serta berdekatan selat itu, jatuh dalam pengaruh British.
"Dalam beberapa peta ada garisan sempadan di wilayah pengaruh British-Belanda, antara lain menunjukkan garis dari Pulau Karimon melalui Pulau Pemping Besar, Pulau Belaking dan Pulau Batam hingga Bintan," katanya.
Mengenai Treti Crawfurd 1824, perjanjian antara Sultan Johor dan Temenggong Johor dengan Syarikat India-Inggeris Timur (EIEC) berhubung penyerahan Singapura kepada syarikat berkenaan.
Katanya, bagi menguatkuasakan penyerahan itu satu instrumen perjanjian digunakan iaitu, Treti Persahabatan dan Perikatan 2 Ogos 1824 atau dikenali sebagai Treti Crawfurd 1824. Perjanjian itu mengambil nama Residen British di Singapura, John Crawfurd ketika itu.
Schrijver berhujah Singapura tidak mempedulikan kaitan perjanjian itu dengan kes yang dibawa ke ICJ kerana mengikut Treti Crawfurd Sultan dan Temenggong Johor menyerahkan Singapura bersama perairan berdekatan, selat dan pulau kecil kira-kira 10 batu nautika daripada pantai.
Katanya, selepas penyerahan Singapura itu British masih mengiktiraf hak kedaulatan Kesultanan Johor terhadap tanah jajahannya termasuk pulau serta kawasan sekitar Selat Singapura.
Sementara itu, peguam Prof James Crawford, berhujah bahawa Kesultanan Johor di bawah Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman serta pengganti mereka wujud sepanjang tempoh berkaitan.
Katanya, kewujudan mereka dalam kurun ke-20 diiktiraf British dan kemudian Singapura sekali gus memusnahkan teori Singapura yang mendakwa Kesultanan Johor lenyap di akhir kurun ke-18. Perbicaraan bersambung hari ini.
0 comments:
Post a Comment