Najib selar tuduhan melampau Rommel



KEPENTINGAN SERANTAU: Najib diiringi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean, semalam.

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan bekas wakil Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Thierry Rommel yang mendakwa negara kini dalam keadaan darurat berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Rommel bertindak melampau dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak patut dilakukan oleh seorang duta yang mewakili sebuah badan antarabangsa atau negara.

“Seorang duta tidak boleh mencampuri urusan dalaman negara yang dia ditugaskan dan dia tidak boleh melahirkan pendapat peribadinya. Pendapatnya mestilah mewakili atau mencerminkan pendapat organisasi yang diwakilinya.


“Malaysia menolak semua kenyataan Rommel itu, kerana ia bertentangan dengan fakta dan situasi sebenar di negara ini.

“Saya menyerahkan kepada Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan atau mengambil sebarang tindakan susulan berhubung kenyataan itu," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) Kedua.

Rommel dalam satu temubual khas dengan agensi berita asing, Reuters, yang disiarkan kelmarin, berkata Malaysia kini berada dalam keadaan darurat selepas polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Ahad lalu.

Rommel turut mendakwa ketidakadilan dalam pilihan raya di Malaysia bukan satu rahsia dan mempertikaikan dasar Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan.

Najib yang juga Menteri Pertahanan ketika mengulas lanjut dakwaan itu, berkata polis menggunakan kaedah berkenaan sebagai langkah terakhir untuk menyuraikan perhimpunan selepas amaran dikeluarkan terlebih dulu.

Katanya, mereka yang menyertai perhimpunan itu tahu, ia adalah haram kerana polis tidak mengeluarkan permit tetapi terus berdegil untuk berhimpun.

Mengenai pilihan raya, Najib berkata, pilihan raya di Malaysia diadakan secara telus dan adil kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah badan bebas selain wakil pembangkang dibenar menyaksikan proses pengiraan undi.

Sementara itu, Menteri-menteri Pertahanan Asean bersetuju mewujudkan rangka kerja kerjasama masa depan berhubung isu keselamatan serantau dalam bidang ketenteraan, operasi bantuan bencana dan hubungan pertahanan antara negara anggota.

Pada sidang media bersama selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) Kedua di sini, semalam, mereka sependapat kerjasama erat dalam bidang keselamatan dan pertahanan perlu untuk kestabilan rantau ini, seterusnya mewujudkan komuniti selamat Asean menjelang 2015.

Mesyuarat tiga hari itu turut bersetuju dengan tiga kertas kerja yang dibentangkan iaitu konsep ADMM+, Protokol ADMM dan program tiga tahun ADMM.

0 comments: