‘Awie, dua anak ada keserasian’

KUANTAN 14 Nov. – Mahkamah Syariah di sini diberitahu bahawa anak-anak penyanyi Awie atau Ahmad Azhar Othman, 39, lebih rapat dan manja apabila berada bersamanya.

Perkara itu dijelaskan oleh saksi plaintif kedua, Faisal Ismail, 32, pada perbicaraan kes perebutan hak penjagaan kekal anak di antara Awie dan bekas isterinya, Arni Nazira Anuar hari ini.

‘‘Apa yang saya lihat, Awie dan anak-anaknya ada chemistry (keserasian). Sebab itulah, anak-anaknya sentiasa bersikap periang dan manja apabila berada bersama dengannya. Kalau tiada chemistry, kemesraan tak akan ada,” kata saksi itu ketika menjawab soalan balas peguam syarie Amiruddin Abdullah yang mewakili Arni.

Plaintif itu dipanggil memberi keterangan memandangkan beliau merupakan antara individu yang rapat dengan Awie berdasarkan jawatannya sebagai Setiausaha Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Ukay Perdana.

Faisal juga tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Amiruddin bahawa Awie merupakan seorang yang sibuk dan tiada masa bersama anak-anak kerana perlu membahagikan tugasnya sebagai pelakon dan penyanyi serta Pengerusi Pekida Ukay Perdana.

‘‘Tak timbul soal sibuk kerana Awie mempunyai jadual kerjanya yang tersusun. Setakat hari ini, saya dapati jadual kerja beliau diatur dengan baik dan dia masih tetap dapat mengutamakan hal peribadinya,” jelasnya.

Faisal juga memberitahu, beliau sering bertandang ke rumah Awie dan hasil pemerhatiannya mendapati penyanyi itu dan dua anaknya, Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleefa Antasha, 5, itu berada dalam keadaan cukup mesra.

‘‘Saya pernah nampak Awie membacakan buku cerita kepada anak-anaknya di rumah. Selain itu, pernah juga Aleeya datang kepada Awie dan bertanya tentang kerja sekolahnya ketika ada tetamu bertandang ke rumah mereka dan dia tetap melayan pertanyaan anaknya itu,” katanya.

Awie diwakili dua peguam syarie, Mohd. Sazali Abd. Aziz dan Mastuni Muhammad manakala Arni, 29, diwakili Amiruddin dan peguam syarie Mohd. Zuki Che Mat Ghani.

Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunos menetapkan perbicaraan bersambung esok dengan keterangan saksi terakhir pihak plaintif, kakak Awie, Hawa Othman.

0 comments: