THE HAGUE, Belanda 14 Nov. – Tindakan British di Singapura menulis surat kepada Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 berhubung status Pulau Batu Putih adalah bertentangan dengan dakwaan republik itu bahawa pulau tersebut menjadi miliknya sejak tahun 1851.
Profesor Elihu Lauterpacht ketika berhujah mewakili Malaysia memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, surat tersebut bertujuan mendapatkan maklumat mengenai status Pulau Batu Putih dan meminta Johor menjelaskan kedudukannya.
“Adalah amat luar biasa bagi negara yang sekarang ini menuntut hak ke atas sebuah pulau yang didakwa menjadi miliknya sejak lebih seabad lalu, memperlihatkan keraguan mengenai kedudukannya sehingga terpaksa bertanya kepada negara yang berkenaan,” hujahya.
Sehubungan itu, Prof. Lauterpacht berhujah, surat balasan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kepada Setiausaha Kolonial Singapura pada September 1953 mengenai status Pulau Batu Putih tidak relevan untuk menyokong tuntutan Singapura ke atas pulau batu itu.
Beliau berkata, walaupun isi kandungan surat itu menyebut bahawa kerajaan negeri Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih namun ia bukan merujuk kepada kedaulatan pulau tersebut.
“Saya telah menegaskan mengenai perbezaan di antara hak milik (ownership) dan kedaulatan (sovereignty). Hak milik adalah konsep yang digunakan dalam undang-undang persendirian manakala kedaulatan pula adalah konsep undang-undang antarabangsa.
“Semasa Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menulis bahawa Johor tidak menuntut hak milik ke atas pulau tersebut, beliau merujuk ‘hak milik’ dari sudut undang-undang persendirian.
“Beliau tidak sama sekali bermaksud ‘kedaulatan’ kerana beliau sendiri tidak mempunyai kapasiti untuk menyerahkan mana-mana wilayah Johor,” katanya yang berhujah bagi pihak Malaysia dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dan dua lagi pulau iaitu Middle Rocks dan South Ledge di ICJ pada hari kedua pusingan pertama hujah lisan Malaysia.
Prof. Lauterpacht kemudian menjelaskan secara panjang lebar kes-kes dalam undang-undang antarabangsa berhubung kenyataan atau pengumuman yang dibuat oleh mana-mana pegawai tinggi kerajaan berhubung kedudukan wilayah-wilayah di negara.
Katanya, walaupun pengumuman seumpama itu didaftarkan dalam bentuk laporan, arahan atau pengisytiharan bertulis namun ia tidak menghalang negara yang berkenaan menyanggah kenyataan tersebut menerusi bukti-bukti yang mencukupi.
Persidangan berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Duta-Duta Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang bertindak sebagai ejen utama.
Sementara itu, Prof. Lauterpacht turut menarik perhatian mahkamah mengenai tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge.
Menurut beliau, kedua-dua pulau itu dari segi geologinya tidak bersambung dengan Pulau Batu Putih. Middle Rocks dan South Ledge masing-masing terpisah pada jarak 0.6 batu dan 2.1 batu dari tersebut.
Katanya, Singapura juga tidak membuktikan sebarang perlakuan di kedua-dua pulau itu untuk mewajarkan tuntutan mereka yang dibuat pada tahun 1993.
Beliau menambah hujah, kedua-dua pulau itu juga bukan terra nullius (tidak berpenghuni dan tidak dimiliki oleh sesiapa) sebaliknya tertakluk kepada kedaulatan Johor serta tidak bergantung kepada Pulau Batu Putih.
“Pulau-pulau itu sentiasa menjadi sebahagian daripada pulau-pulau kecil yang terletak di utara Selat Singapura di mana Johor mempunyai kedaulatan ke atasnya,” hujah Lauterpacht.
– Utusan
0 comments:
Post a Comment