KUALA LUMPUR 12 Nov. – Institusi pendidikan tinggi (IPT) negara disaran menambah penyelidikan selain menyertai lebih banyak seminar antarabangsa untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Dr. Hassan Said berkata, universiti tempatan perlu mula meraih ‘populariti’ dunia dengan mengembangkan hasil kajian ke peringkat antarabangsa.
‘‘Kita sudah kaji punca kejatuhan universiti tempatan. Hubungan dan penerbitan universiti dengan negara luar didapati masih rendah.
‘‘Penyelidikan perlu diperbanyakkan dan hasilnya perlu diketengahkan selain penyertaan kita sendiri dalam seminar atau kursus dianjur universiti luar negara,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama seminar pendidikan tinggi bertajuk Arah, cara dan cabaran baru era pekerjaan graduan di sini hari ini.
Hassan mengulas pengumuman Times Higher Education Supplement (THES) mengenai senarai universiti terbaik dunia 2007 yang turut menyenaraikan lima IPT Malaysia sebagai antara 520 yang terbaik.
Bagaimanapun, tidak ada satu pun universiti tempatan tersenarai antara 200 yang teratas.
Penyelidikan bagi kedudukan tersebut dijalankan oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta Britain bagi pihak THES.
Tambah Hassan, nisbah satu pensyarah dengan 20 pelajar di universiti tempatan juga akan dikurangkan seiring melahirkan graduan lebih berkualiti.
‘‘Kita sedang berusaha untuk menjadikan nisbah satu pensyarah kepada 10 pelajar sahaja.
‘‘Banyak universiti luar negara mengamalkannya. Kita lihat nisbah itu salah satu punca mereka berjaya,” ujarnya.
Oleh itu katanya, dasar kerajaan yang mementingkan pendidikan negara menjadi salah satu ramuan untuk memastikan kedudukan universiti negara melonjak naik.
Jelas beliau lagi, pihaknya memandang serius kedudukan yang dikeluarkan THES baru-baru ini dan menjadikannya cabaran untuk memasukkan kembali universiti tempatan dalam senarai 200 terbaik dunia.
‘‘Kita terima ia sebagai kritikan. Kita jadikannya pedoman untuk meningkatkan usaha membuktikan kemampuan universiti tempatan.
‘‘Ia bukan rancangan jangka pendek. Pelbagai aspek akan diambil kira sebelum universiti kita benar-benar diiktiraf antara terbaik dunia,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment