Oleh Hardi Effendi Yaacob
Datuk Ismail Omar |
KUALA LUMPUR: Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ismail Omar, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, menggantikan Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz yang bersara mulai semalam.
Pelantikan Ismail, 54, diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada majlis serah tugas jawatan itu di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman pagi semalam, disusuli istiadat Paluan Berundur untuk Mohd Najib di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan semalam pula berkata, pelantikan Ismail berkuat kuasa hari ini.
Katanya, pelantikan Ismail diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah diperakukan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.
Ismail, 54, yang dilahirkan pada 17 Mei 1953 di Kulim, Kedah, menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 15 Disember 1971 sebagai Inspektor Percubaan dan berpengalaman memegang pelbagai jawatan penting sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dalam pasukan itu.
Berkelulusan Ijazah Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ismail pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan (1972), Pegawai Penyiasat IPD Ipoh, Perak (1977), Asisten Superintendan Siasatan Tatatertib di Bukit Aman (1983) dan Pegawai Pendakwa Mahkamah Ipoh (1994).
Beliau juga pernah bertugas di Unit Pendakwaan dan Undang-Undang Jenayah (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (1999), Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (1996), Ketua Penolong Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman (2004), Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman (2005) dan Ketua Polis Selangor (2006).
Ismail baru tujuh bulan memegang jawatan Pengarah Pengurusan Bukit Aman berikutan persaraan Datuk Mohd Amir Sulaiman, 31 Mei lalu.
Ketika ditemui semalam, Ismail berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha membangunkan pasukan itu sejajar dengan Pelan Strategik 5 Tahun PDRM.
"Terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi), Tan Sri Musa (Hassan) dan Suruhanjaya Pasukan Polis atas kepercayaan yang diberikan. Ini satu tanggungjawab besar dan saya akan berusaha melaksanakannya sebaik mungkin," katanya sambil menganggap perlantikannya itu sebagai berita mengejutkan tetapi menggembirakan.
"Saya bersyukur dengan pelantikan ini, malah sentiasa bersedia membantu Tan Sri Musa (Hassan) melaksanakan semua agenda yang dirancangkan," katanya.
Musa dalam ucapannya, yakin pengalaman yang dimiliki Ismail boleh membantunya menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, terutama dalam usaha menambah baik pasukan itu.
"Saya berharap beliau dapat memberi sepenuhnya komitmen pada tugas, terutama membantu saya menambah baik pasukan ini dari segala aspek sejajar dengan usaha menjadikan PDRM sebuah pasukan keselamatan dan perkhidmatan awam yang cemerlang," katanya.
Katanya, PDRM sentiasa bersikap terbuka dan setiap pegawai serta anggota berpeluang menikmati kenaikan pangkat asalkan menampilkan budaya kerja yang cemerlang, selain jujur melaksanakan tanggungjawab.
0 comments:
Post a Comment