Panel penulis patut dapat pengiktirafan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu melantik sendiri cendekiawan sebagai anggota panel penulis dan penilai bagi memastikan kandungan buku teks sekolah mempunyai fakta tepat dan sesuai dengan perkembangan semasa.

Selain itu, kaedah pembelajaran melalui buku teks dibekalkan kementerian sukar difahami kebanyakan pelajar menyebabkan mereka mengutamakan buku rujukan.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohd Ali Hassan, berkata panel penulis dan penilai perlu diiktiraf kerajaan bagi mengelakkan sebarang perbalahan mungkin berlaku disebabkan fakta bercanggah.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa, selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula.

Malah, tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata berdasarkan penelitiannya terhadap buku teks yang digunakan di sekolah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, laporan juga menyebut kebanyakan guru terutama yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berpendapat buku teks yang dibekalkan sebagai kurang membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Malah, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim mengakui buku teks kurang membantu dalam proses pembelajaran.

Beliau yang juga guru Bahasa Melayu lebih senang menggunakan buku rujukan dan kaedah pengajaran sendiri dan mengelak daripada terikat dengan kaedah pengajaran dalam buku teks yang agak menyusahkan.

Beliau berkata, guru lebih gemar memilih buku rujukan sebagai sumber pembelajaran di kelas berbanding buku teks yang disediakan kementerian.

0 comments: